Jurulatih Kuala Lumpur (KL) Thunder, Rashidi Nordin, berkata juara berganda edisi 2020 itu perlu menggiatkan lagi persiapan mereka selepas tersungkur dua kali dalam Kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) musim 2021/2022.

Mereka mengekalkan rekod bersih sepanjang pusingan pertama musim ini, tetapi ia tidak berlaku kali ini.

Sempena dua aksi terakhir pusingan awal bertemu Negeri Sembilan Antlers dan Putrajaya Cyborg di Stadium Titiwangsa pada Jumaat dan Sabtu ini, KL Thunder diseru untuk melonjak kedudukan selepas menghuni tangga ketiga di belakang ATM Guardians dan Penang Black Panthers.

Perlawanan pada minggu ini adalah perlawanan terakhir Pusingan Pertama STL dan akan berhenti rehat dari 31 Januari hingga 10 Februari bagi memberikan laluan saingan Divisyen 1 yang akan bermula pada 1-6 Februari di Stadium Titiwangsa.

"Kedua-dua pasukan merupakan pasukan tersebut sedang meningkat naik dan kami membuat persiapan rapi untuk perlawanan minggu keempat.

"KL Thunder perlu ada serangan yang tekal, Negeri Sembilan dan Putrajaya mempunyai pertahanan yang baik dan serangan tekal.

"Apa yang paling penting pemain saya boleh mengurangkan kesilapan supaya tidak terganggu dalam pusingan kedua kelak.

"Kami perlu dua kemenangan dalam minggu keempat ini supaya dapat meneruskan momentum dalam pusingan seterusnya," katanya di Nadi Arena.





Dalam masa sama, Rashidi mengakui perlu membuat percaturan terbaik di bahagian pelibas berikutan kecederaan yang menimpa Azlan Alias selepas melakukan pendaratan kurang sempurna ketika bertemu Selangor Pistons, Ahad lalu.

Walaupun mengakui khidmat perejam kebangsaan itu masih diperlukan pada minggu ini, KL Thunder tidak perlu panik kerana kelibat Hanafiah Dollah dan Redwan Hakim sedia dipertaruhkan.

"Azlan mengalami sedikit kecederaan paha dalam minggu ketiga tetapi ia telah pulih sementara kecederaan tangannya tidak serius.

"Dengan rawatan yang kami berikan dan latihan ringan buatnya, Insya-Allah dia akan pulih pada minggu ini.

"Kami masih ada sesi latihan pada Khamis ini dan saya akan buat penilaian terakhir prestasi mereka sebelum saya membuat sebarang keputusan," katanya.

Perlawanan pada minggu ini adalah perlawanan terakhir Pusingan Pertama STL dan akan berhenti rehat dari 31 Januari hingga 10 Februari bagi memberikan laluan saingan Divisyen 1 yang akan bermula pada 1-6 Februari di venue sama.

Undian Divisyen 1 menyaksikan 10 pasukan akan berentap dalam dua kumpulan.

Kumpulan A:
SSC Hunter
KPT-MASUM Knights
Sabah Mountaineers
Melaka Titans
PDRM Defenders

Kumpulan B:
Perlis Vipers
Labuan Drillers
Kedah Eagles
Terengganu Turtles
Pahang Mammoth