Johor Tigris terus mempamerkan aksi cemerlang apabila mengulangi kejayaan mengatasi Penang Black Panthers 2-1 dalam pusingan kedua saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa hari.

Skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu tewas set pertama 17-21, namun bangkit mengukir kemenangan pada set kedua 21-19.

Permainan yang berlanjutan sehingga ke set penentuan menyaksikan Johor terus mengibar bendera kemenangan apabila menutup aksi dengan keputusan 21-11.

Dalam aksi terdahulu, Bomba Fighters berjaya membalas dendam ke atas Negeri Sembilan (NS) Antlers menerusi kemenangan 2-1.

Selepas tumpas 16-21, 21-19, 7-21 dalam pertemuan pertama 30 Januari lalu, Bomba yang diperkuatkan dengan kehadiran pemain import dari Thailand, Rusdee Leerem, yang mempamerkan aksi lambat panas dalam set pertama apabila tewas 13-21.

Bagaimanapun, Bomba berusaha bangkit dalam set kedua dan kerja keras mereka itu berhasil untuk meraih kemenangan penting 21-15 bagi mengheret NS Antlers beraksi dalam set penentuan.

Permainan yang disambung dalam set ketiga terus berpihak kepada anak buah Ahmad Mohd Zin itu apabila menutup aksi dengan kemenangan 21-18 untuk mengutip dua mata penuh.