Perbincangan sebelum turun ke gelanggang pada hari ini menjadi pemangkin buat Johor Tigris melakar kemenangan pertama dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

Meskipun pada satu ketika ketinggalan 5-8, skuad dari Selatan itu masih mampu melakar kemenangan 21-11 di Stadium Titiwangsa, petang tadi.





Perak Bison yang melakukan pertukaran dengan memasukkan tekong, Meor Zulfikar Mat Amin, bagi menggantikan tekong import dari Thailand, Anuwat Sombatdee, mengheret perlawanan ke set penentuan melalui keputusan 21-16.

Set ketiga seolah-olah menjadi milik mutlak anak buah Ahmad Jais Baharum itu apabila meraih mata demi mata, sekali gus menoktahkan kemenangan 21-10 selepas lima percubaan sementara Perak Bison pula terpaksa terima hakikat menanggung kekalahan keempat musim ini.

Sementara itu, Kuala Lumpur Thunder yang masih mengekalkan Aizat Nor Azmi di posisi tekong, meneruskan rentak untuk kemenangan ketiga dalam minggu kedua.

A post shared by SepakTakraw League (STL) (@stl.my)



Libasan licik Azlan Alias kerap memberikan mata berharga buat KL Thunder walaupun seperti ketika berdepan Penang Black Panthers semalam, Selangor Pistons berhasil mencuri set kedua.

Namun, momentum itu gagal dikekalkan hingga mata akhir sebelum tunduk 16-21, 21-18, 18-21.

Satu lagi kejutan berlaku sebentar tadi apabila Kelantan Warriors kalah mengejut kepada Bomba Fighters secara straight set.

Kelantan seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana kerap memberi mata mudah untuk menghadiahkan lawan kemenangan 21-14, 22-20.