Ketua jurulatih Johor Tigris, Ahmad Jais Baharun, mengesahkan bahawa pasukannya bakal diperkuatkan pemain import dari Thailand yang akan tiba dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, pemain berkenaan berkemungkinan besar tidak akan beraksi dalam perlawanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) menentang Penang Black Panthers dan Bomba Fighters di Stadium Titiwangsa minggu ini.

Difahamkan, pemain import yang dimaksudkan itu adalah seorang tekong, Swatbanchan Seekhwa.

Ahmad Jais berkata kepada Nadi Arena: "Dia merupakan pemain daripada pasukan Navy dalam Liga Thailand, namanya adalah Seekhwa.

"Kalau dilihat daripada prestasi semasa pemain import ini, kami masih perlu mempertajamkan persefahaman dan penyesuaian regu, jadi ia sedikit-sebanyak memerlukan masa.

"Saya rasa minggu ini mungkin tidak sempat tetapi bagi saingan minggu keenam di Kelantan, kami akan berusaha yang terbaik untuk memastikan dia dapat beraksi," katanya.