Selepas berdepan kekalahan pertama semalam, pendahulu Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL), ATM Guardians, kembali menemui rentak kemenangan selepas menewaskan Kelantan Warriors 2-1 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Guardians tewas mengejut 0-2 kepada Selangor Pistons semalam, di mana mereka melepaskan enam mata akhir dalam set pertama sewaktu mendahului 20-14.

Ia menjadi kekalahan pertama mereka selepas merekodkan tujuh kemenangan berturut-turut sejak awal musim ini tetapi Guardians bangkit mengetepikan cabaran Warriors untuk kekal menerajui carta STL.

Membariskan Adam Aiman Zainol (tekong), Sobrie Samsudin (pengumpan) dan Afifuddin Razali (perejam), Guardians tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan 21-13 dalam set pertama.

Bagaimanapun, Warriors yang menggunakan tekong berpengalaman, Zulkifli Abd Razak, yang diapit Aidil Aiman Zawawi (pengumpan) dan Eqbal Shamsudin (perejam), kembali mengikat kedudukan dengan kemenangan 21-12 dalam set kedua.

Set penentuan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling berkejaran mata tetapi Guardians menamatkan saingan dengan pungutan dua mata maksimum hasil kemenangan 21-18.



Keputusan lain:
Selangor Pistons 2 Perak Bison 1
Bomba Fighters 1 Negeri Sembilan Antlers 2
Penang Black Panthers 1 Johor Tigris 2