Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Guardians berdepan tentangan hebat pendatang baharu Divisyen Perdana, Bomba Fighters sebelum menang 2-1 dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa.

Merekodkan lima kemenangan dalam lima perlawanan terdahulu, Guardians dikejutkan apabila tewas set pertama 21-19 malah diberi tentangan hebat dalam dua set berikutnya.

Pada permulaan set kedua, skuad kendalian Aswadi Abdullah turut bermula goyah, malah naib juara divisyen Perdana musim lalu itu di ambang kekalahan pertama musim ini apabila ketinggalan 14-18 sebelum bangkit pada hujung permainan untuk mencipta kemenangan 21-18.

Perlawanan terus berlangsung sengit dalam set ketiga apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata sehingga terikat 15-15 sebelum ATM mengorak langkah untuk menutup permainan 21-17.

Kemenangan itu membenarkan Guardians mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu STL 2021/2022, malah melakar kemenangan keenam berturut-turut.

Sementara itu, Negeri Sembilan Antlers mencatat kemenangan ketiga musim ini selepas menundukkan Perak Bison 21-14, 22-24, 21-14.

Keputusan lain:

PENANG BLACK PANTHERS 0 PUTRAJAYA CYBORG 2

SELANGOR PISTONS 1 KELANTAN WARRIORS 2