Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan dua penganjuran domestik iaitu Kejohanan Piala Tun Abdul Razak yang akan membuka tirai 10 November sementara Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2021 bermula 26 November depan.

Bagaimanapun, perubahan dilakukan bagi penganjuran LHRM apabila kejohanan itu bakal melangsungkan kategori lelaki sahaja.

Namun, jawatankuasa pertandingan mempunyai perancangan untuk mengadakan kategori wanita pada awal 2022 dan ia akan diputuskan semula.

Jumlah pasukan bakal diumumkan selepas 21 September ini dan pasukan yang berhasrat menyertai kejohanan itu mempunyai masa hingga tarikh berkenaan untuk mengesahkan tempat.

"Ada beberapa syarat ditetapkan dalam LHRM. Semua pasukan perlu mengetengahkan penjaga gol bawah 19 tahun.

"Lima pemain berumur 21 tahun dibenar didaftarkan setiap pasukan dan tiga orang sahaja daripada mereka yang boleh diturunkan untuk satu perlawanan.

"Langkah ini juga dipertimbangkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) apabila hanya pemain B-23 disenaraikan kerana sudah lama mereka tidak bermain. Sebab itu saingan tahun ini istimewa," jelas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr. Anil Jeet Singh, di Nadi Arena sebentar tadi.