Novak Djokovic menyokong agar kesemua acara tenis di China dibatalkan jika Peng Shuai tidak ditemui selamat.

Juara acara beregu grand slam itu diaporkan hilang sejak mengeluarkan tuduhan ke atas Zhang Gaoli -- bekas naib perdana menteri negara itu -- yang didakwa melakukan serangan seksual ke atasnya.

Kesahihan mesej susulan yang didakwa daripada Peng -- menerusi e-mel dan dimuat naik di Weibo -- turut telah mendatangkan perseoalan.

Pengerusi Persatuan Tenis Wanita (WTA), Steve Simon, memberitahu BBC bahawa organisasinya masih belum mendapat sebarang perkhabaran secara terus daripada Peng dan memberikan amaran pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membatalkan seluruh acara tenis di China sekiranya masih tiada bukti sahih mengenai keselamatan pemain itu.

Dua ikon WTA, Serena Williams dan Naomi Osaka, turut menyuarakan kebimbangan mereka mengenai keadaan Peng dan kini, pemain lelaki nombor satu dunia, Novak Djokovic, tampil untuk memberikan sokongannya terhadap pendirian Simon.

"Saya menyokong kenyataan yang dikeluarkan WTA sebagai sebuah organisasi dan juga sudah pasti terhadap presidennya," kata Djokovic.

"Seluruh komuniti tenis perlu mempertahankannya (Peng), memastikan dia selamat dan didengari kerana jika anda mengadakan kejohanan di tanah China tanpa menyelesaikan isu ini, ia akan menjadi agak janggal.

"Saya dengar WTA akan membatalkan semua kejohanan di China melainkan isu ini selesai. Saya menyokongnya 100 peratus," katanya.