Pecutan saat akhir yang dilakukan pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Akid Aziz, membuahkan hasil untuk memenangi perlumbaan pusingan keempat Cub Prix Malaysia di Litar Utara Sepang hari ini.

Aksi berlangsung sengit sejak awal perlumbaan di mana tiada pelumba dapat mendominasi kelompok hadapan yang terdiri daripada tujuh pelumba tetapi Akid bijak mencaturkan rentak tunggangannya untuk menamatkan perlumbaan itu dengan catatan masa terpantas 15:03.215s.

Menuju kegarisan penamat, pelumba dengan gelaran The Silent Hunter itu mempamerkan kepakarannya untuk memanfaatkan 'slipstream' daripada pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Afif Amran, sebelum memintas pada saat-saat akhir.

Afif terpaksa berpuas hati menduduki tempat kedua selepas hanya ketinggalan 0.052s di belakang Akid manakala pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Md Bahauddin, melengkapkan kedudukan podium dengan catatan masa 15:03.391s.

Bagaimanapun, pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar, yang muncul juara pusingan ketiga di venue sama semalam, kekal berada di tangga teratas kedudukan keseluruhan dengan 58 mata meskipun menamatkan perlumbaan kali ini di tempat keempat.

Seterusnya, saingan Cub Prix Malaysia akan bersambung di Litar Permotoran Terengganu awal bulan depan.



*Kredit foto: Malaysian Cub Prix