Status sebagai atlet kebangsaan tidak memberikan apa-apa kelebihan dari sudut kesihatan mental dan emosi melainkan kumpulan ini juga berpotensi untuk mengalami kemurungan serta tertekan.

Salah seorang atlet yang terkesan ialah pemain bola tampar pantai negara, Tasha Mae, yang baru-baru ini memberanikan diri dengan luahannya di media sosial.

Menerusi perkongsian bersama wakil Astro Arena, Fariha Razak, medium luahan mampu membantu mengawal tekanan yang dialaminya agar kekal positif dalam belenggu COVID-19.

Mungkin ramai yang menganggap bahawa atlet tidak sepatutnya mengalaminya kerana stigma masyarakat terhadap golongan ini bahawa mereka harus mempunyai kekuatan mental yang tinggi.

Namun, di sebalik kekuatan itu, Tasha akur dengan keadaan semasa sambil menganggap bahawa perkongsiannya ini mampu meniupkan kekuatan kepada sesiapa yang melalui perkara serupa, lebih-lebih lagi insan bergelar atlet.

"Atlet (sering dianggap mempunyai perwatakan) yang sangat kompetitif.

"Kami sering menyertai kejohanan dan tiba-tiba kini terpaksa duduk di rumah. Sebahagian identiti kami bagaikan hilang.

"Selama ini saya was-was untuk mengadu kerana mungkin dianggap sebagai tidak bersyukur memandangkan ramai lagi yang melalui situasi yang lebih buruk daripada saya.

"Tapi saya fikir ada yang senasib dengan saya," katanya.





Atlet berusia 19 tahun itu juga berkongsi perkara baru yang dilakukannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai hobi demi meluangkan masa lapang dengan sebaiknya.

"Saya buat kandungan (di media sosial) sebagai salah satu cara untuk mempromosikan bola tampar.

"Ini masa yang sukar untuk semua orang jadi cubalah cari hobi, menghubungi rakan-rakan serta perlu bertabah."