Liga Ragbi Kebangsaan (NRL) akan diteruskan walaupun sekatan perjalanan ditingkatkan disebabkan oleh wabak koronavirus baru (Covid-19) manakala New Zealand Warriors akan kekal di Australia.

Liga Australia itu pada hari ini mengesahkan aksi kedua minggu depan akan diteruskan di stadium tertutup tatkala wabak Covid-19 mengganggu program sukan di seluruh dunia.

Warriors -- yang tewas dalam perlawanan pembukaan musim ini kepada Newcastle Knights semalam-- akan kekal di Australia selepas New Zealand mengenakan syarat perjalanan yang ketat -- akan diperkenalkan pada tengah malam hari ini (masa tempatan) -- dengan tempoh pengasingan diri selama 14 hari adalah mandatori ke atas mereka yang memasuki negara itu.


Walaupun NRL akan diteruskan musim ini, penganjur mengakui saingan itu akan dibatalkan sekiranya Kerajaan Australia meningkatkan sekatan.

"Ia merupakan satu cabaran paling sukar bagi kami untuk terus berdaya maju dalam sejarah permainan ini," kata Pengerusi Suruhanjaya Ragbi Liga Australia (ARL), Peter V'landys. "Ia boleh berubah dengan sekelip mata. Semua keputusan yang akan kami buat berlandaskan keselamatan dan kesihatan pemain.

"Kami akan mengkaji semula segala pilihan yang ada termasuk mengasingkan pemain atau menangguhkan musim ini. Kami telah menugaskan pakar pandemik dan kami akan bertindak atas nasihat mereka. Pertimbangan utama adalah keselamatan pemain."

V'landys, yang menggesa kerajaan persekutuan untuk menawarkan sokongan kewangan kepada NRL, menambah: "Kami akan meneruskan perlawanan kedua dan kami akan bekerjasama dengan kakitangan keselamatan dan pakar pandemik.

"Kami mahu mendapat yang terbaik, itulah sebabnya kami melaksanakan langkah ini. Jika seseorang dijangkiti maka kami perlu menilai semula.

"Tidak pernah berlaku tekanan kewangan yang lebih hebat berbanding sebelum ini, kami mempunyai dana tetapi ia akan habis dengan cepat."