Pengusaha gimnasium kecewa apabila kerajaan masih melarang industri itu daripada beroperasi semula dalam Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekitar Lembah Klang, esok.

Tindakan terbabit umpama mereka dianaktirikan sedangkan fasiliti sukan lain menerima nasib berbeza.

Ia menjadi persoalan dalam kalangan ratusan pengusaha gimnasium seluruh negara memandangkan kerajaan membenarkan aktiviti sukan dalam dewan kepada individu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin.

"Dalam satu pengumuman semalam, kebanyakan sukan di dalam dewan sudah dibenarkan (beroperasi) misalnya futsal tapi gimnasium masih tidak dibenarkan lagi.

"Dari awal lagi kami berjuang untuk pembukaan gimnasium, jadi kami sebagai pemilik gimnasium sanggup mengikuti apa jua SOP (prosedur operasi standard) oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara).

"Ini kerana SOP bagi gimnasium lebih mudah dikawal kerana pintu masuknya satu sahaja. Kami boleh kenal pasti pengunjung yang keluar dan masuk.

"Jangan bandingkan gimnasium berkonsepkan francais yang terletak di dalam pusat membeli-belah. Kemungkinan mereka sukar untuk ikut SOP yang ditetapkan.

"Tapi gimnasium di kawasan kedai lebih mudah diikuti, contohnya untuk tambah ekzos udara dan kipas. Oleh itu saya memohon kerajaan agar mempertimbangkan pembukaan gimnasium seperti sukan di dalam dewan yang lain," kata Presiden Pengusaha Gimnasium Malaysia, Krishna Kumar.