Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah, mengesahkan sudah ada kerangka lengkap meliputi pembangunan dan pengurusan sukan sepak takraw negara.

Merangkap jurucakap kumpulan G12 -- umum keluar daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) -- Zuraidin berkata pihaknya dalam usaha memperbaiki struktur pengurusan negara dan antara langkah proaktif yang diambil ialah mengusulkan had tempoh seseorang presiden itu berkhidmat ialah di antara sembilan hingga 12 tahun.

Perkara itu akan dikemukakan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) dengan harapan akan dimasukkan dalam perlembagaan persatuan.

"Dari situ (sepanjang tempoh ini) kita melalui dua Sukan Asia dan beberapa Sukan SEA.

"Ia sudah cukup untuk (mencapai sasaran) petunjuk prestasi utama (KPI) dan mengelak persatuan daripada (menjadi) lesu atau tepu untuk idea (pembaharuan) kerana terlalu lama memegang tampuk kepimpinan dalam persatuan.

"Perkara ini akan diusulkan secepat mungkin kepada PJS untuk dipertimbangkan, seterusnya dimasukkan dalam perlembagaan kelak," katanya.