Astro hari ini melancarkan liputan menyeluruh Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sebagai penyiar rasmi temasya dwitahunan itu.

Sebanyak lapan saluran diperuntukkan menerusi Astro Arena khas buat peminat sukan tanah air dengan empat saluran berdefinisi tinggi, termasuk saluran khas untuk berita Sukan SEA.

Platform digital Astro Arena turut memainkan peranan penting menyalurkan maklumat terkini kejohanan dengan laporan saluran disediakan menerusi Astro Go dan NJOI Now.

Sukan SEA 2017 mencipta sejarah tersendiri apabila bakal menyediakan siaran langsung dalam 24 jenis sukan, liputan langsung sukan paling banyak sepanjang penganjuran Sukan SEA.

Justeru, tiada alasan buat peminat sukan tanah air untuk tidak dapat mengikuti perkembangan terkini temasya Sukan SEA 2017 yang bakal bermula bulan depan dan sama-sama memeriahkan temasya edisi ke-29 ini.

Majlis pelancaran Astro Arena selaku penyiar rasmi Sukan SEA 2017 disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Turut hadir, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, dan Naib Presiden Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Khay.