Ziyad vs Juntima

Bazly Azmi
September 27, 2019 09:33 MYT
Muhammad Ziyad Zolkefli satu-satunya atlet paralimpik negara yang akan mencabar Sukan Sea Filipina, November depan.
Ini bukan kali pertama Ziyad menyertai temasya dwitahunan itu selepas meraih pingat gangsa di Kuala Lumpur pada 2017.
Tetapi penampilan kedua ini lebih bermakna kerana dia beraksi tanpa Abd Latif Romli (lompat jauh) yang menarik diri kerana mahu fokus terhadap Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE), November depan.
Apa yang menjadi persoalan, adakah Ziyad mampu merampas pingat emas di Filipina?
Berdasarkan pencapaian semasa, Ziyad dijangka berdepan cabaran sengit daripada juara bertahan, Promrob Juntima (Thailand), yang memburu gelaran hatrik.
"Saya tidak sangka akan menjadi wakil tunggal paralimpik negara ke Filipina. Tapi saya anggap ini sebagai satu kelebihan, mengurangkan tekanan dan ia boleh mencerahkan peluang untuk meraih perak atau emas.
"Cuma untuk emas, saya perlu pecah rekod kebangsaan milik Adi Alifuddin, 17.54 meter," kata Ziyad.
Catatan peribadi terbaik Ziyad ialah 17.29 meter ketika muncul juara dunia para di London, England pada 2016, yang juga rekod baru para dunia.
Saya bukan mahu mengagungkan Ziyad tetapi berdasarkan ranking semasa Asia Tenggara, Ziyad menghuni ranking pertama!
Juara para dunia dua kali ini memegang catatan 16.71 meter berbanding Juntima 16.02 meter tahun ini.
Cuma kita tidak tahu apakah perancangan tuan rumah, Filipina, yang kerap menggunakan khidmat atlet naturalisasi.
Moga Ziyad dapat menggegar lagi tahun ini -- Kejohanan Para Dunia dan Sukan Sea Filipina!