Kejayaan Muhammad Ziyad Zolkefli perlu dijadikan sumber inspirasi kepada semua atlet dan rakyat Malaysia.

Bagaimana perjalanan harian yang mereka hadapi sebelum mencipta kejayaan yang luar biasa apabila muncul juara dunia serta memecah rekod dunia acara lontar peluru lelaki F20 dengan jarak balingan 17.29 meter dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di London baru-baru ini.

Sudah pastilah dengan keazaman yang tinggi serta disiplin, komitmen dan fokus kepada apa yang diinginkan itulah yang memberi kejayaan kepadanya.

Sikap yang professional yang ditonjolkan Ziyad itu membuat penulis berasa tersentuh dan terlalu hormat pada Ziyad.

Kenapa atlet Paralimpik ini boleh berjaya?

Inilah persoalan yang sentiasa bermain dalam pemikiran penulis, namun apa yang pasti, sikap peribadi Ziyad yang sentiasa merendah diri dan menghormati orang lain selain tahu mengurus dirinya serta bijak dalam merancang matlamat apa yang diinginkan untuk kejayaan adalah antara ramuan kejayaannya.

Tetapi yang paling penting, beliau jujur pada diri sendiri untuk mengharumkan nama negara.

Itulah intipati yang membuat Ziyad berjaya sehingga ke puncak tertinggi selain daripada sokongan keluarga serta hormat beliau kepada ibu-bapanya dan sentiasa bersyukur -- ini juga peranan utama kejayaannya.

Kepada atlet-atlet generasi muda, jadikanlah Ziyad sebagai ikon, terutama kepada pemain-pemain bola sepak dan juga skuad bawah 22 tahun (B-22) yang akan menghadapi ujian di Bangkok ,Thailand dalam kelayakan Kejohanan AFC B-23, ambillah semangat Ziyad yang begitu cintakan negara.

Jangan rasa takut dan hormat pada lawan tetapi perlu yakin dengan kemampuan diri sendiri untuk membuktikan yang skuad B-22 Malaysia ini boleh melakukan kejutan.

Begitu juga kepada pengurusan persatuan atau kelab, jangan membiarkan pemain-pemain muda yang punyai pontensi dan bakat untuk mengharumkan nama Malaysia disekat.

Biarlah mereka berbakti untuk negara dengan jujur dan ikhlas.

Kepada ibu bapa pula, lihatlah bagaimana pengorbanan ibu-bapa Ziyad, yang walaupun mereka tahu anak mereka mempunyai kekurangan, kedua-duanya tetap berdiri teguh di belakangnya walau dalam apa keadaan sekali pun.


Sekali lagi penulis ingin mengucapkan tahniah kepada Ziyad dan rakan-rakan yang telah berkerja keras untuk mengharumkan nama Malaysia di seluruh pelosok dunia.

Teruskan usaha anda untuk menjulang nama Malaysia dan menyedarkan kami semua bahawa pengorbanan dan usaha itu pasti boleh berjaya.