Nama Lee Zii Jia kembali di bibir peminat badminton Malaysia setelah berjaya mengejutkan bekas juara dunia dan juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long, dengan keputusan 21-12, 21-18 di peringkat suku akhir.

Kemenangan ini cukup bermakna buat Zii Jia sebagai pemain nombor satu negara dan paling penting buat pemain berusia 21 tahun ini ialah menunjukkan peningkatan.

Walaupun ini adalah kemenangan di peringkat suku akhir, tetapi buat peminat, apabila tewaskan Chen Long ia seolah-olah kemenangan dalam perlawanan akhir terutama menang dengan straight set.

Apabila Zii Jia tampil penuh yakin dalam aksi ini, ia mengimbau kata-kata Datuk Misbun Sidek yang sering diperkatakan termasuklah ketika Datuk Lee Chong Wei di kemuncak bahawa ‘halangan paling sukar untuk seseorang pemain berjaya ialah diri sendiri’ dan ini petanda yang Zii Jia semakin matang dan berjaya menyerap tekanan serta mampu menterjemahkannya dengan aksi menyakinkan.

Pada saya, kemenangan ini cukup penting bagi Zii Jia untuk motivasi diri dan bekalan dalam mengharungi perjalanan yang masih jauh.

Tetapi persoalannya, mampukah Zii Jia tampil konsisten selepas ini? Terutama cabaran di peringkat separuh akhir yang menyaksikan Lee Zii Jia bakal berdepan pemain Denmark, Viktor Axelsen, yang menghuni ranking ketujuh dunia.

Berdasarkan rekod pertemuan, ia tampak seimbang dengan masing-masing menang sekali dan aksi terakhir mereka dalam Terbuka Korea 2019, Zii Jia menang 21-18, 21-16 dalam pusingan kedua.

Bagi menjawab persoalan di atas, saya tetap yakin yang Zii Jia mampu tewaskan Axelsen sekiranya beliau mampu menyerap tekanan.

Tetapi, lupakan dahulu kemenangan, sebaliknya fokus terhadap permainan.

Ayuh Zii Jia, anak Kedah pantang kalah.