Lee Zii Jia ‘kapak’ Viktor Axelsen.

Ini kali pertama pemain perseorangan lelaki nombor 1 negara, Zii Jia, menumpaskan Viktor dan kemenangan 21-18, 21-16 membawa pemain nombor 16 dunia itu mara ke suku akhir Terbuka Korea.

Kemenangan Zii Jia ke atas Viktor, juara dunia 2017 dan bekas pemain nombor 1 dunia dari Denmark itu, cukup manis buat kem negara selepas Liew Daren juga melakar keputusan mengejutkan membenam diva badminton, Lin Dan, dalam pusingan pertama.

Selepas menundukkan juara dunia 2 kali dan pemenang pingat emas Olimpik 2016, Chen Long, dalam Terbuka Indonesia, Julai lalu, anak Kedah itu tampak lebih yakin dalam gelanggang.

Namun, konsistensi merupakan perkara terpenting buat pemain negara termasuk Zii Jia, yang sendiri mengakui tiada apa yang perlu dihebohkan jika menang sekali dan kalah berbanyak kali selepas ini.

Jika muka surat belakang akhbar tempatan dahulunya sentiasa dipenuhi dengan berita kejuaraan Datuk Lee Chong Wei, kini lebih sunyi.

Itu realitinya dan di sinilah sebarang berita gembira daripada pemain badminton negara buat kita berasa teruja.

Kita tunggu sama ada Zii Jia betul-betul konsisten apabila perlu melepasi pemain nombor 1 dunia dan juara dunia berganda, Kento Momota, dalam suku akhir nanti.