Hujung minggu lalu, tandukan Nacho Fernandez membolehkan Real Madrid memintas juara bertahan LaLiga, Barcelona, di kedudukan teratas musim ini selepas mengutip 46 mata.

Kemenangan 1-0 ke atas Real Valladolid itu menyaksikan Nacho muncul wira buat skuad kendalian Zinedine Zidane itu tatkala Barca dijinakkan Valencia 2-0 hasil dua jaringan Maxi Gomez di Mestalla.

Bagaimanapun, ia masih belum dapat menggembirakan pengendali dari Perancis itu.

Zidane jelas menuntut persembahan lebih meyakinkan daripada anak buahnya menjelang pertemuan getir menentang musuh setempat, Atletico Madrid, di laman sendiri, hujung minggu ini.

"Bergelar pendahulu tidak mengubah apa-apa. Ia tiga mata penting tetapi tidak lebih daripada itu," katanya, memetik artikel menerusi laman Fotmob.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai gelaran juara kerana perjalanan masih jauh. Banyak lagi aksi liga dan ia akan menyukarkan semua pasukan, termasuk kami."

Masih belum tewas dalam semua kejohanan sejak Oktober lalu, setiap minggu Zidane dilihat merencana taktikal berbeza melibatkan Vinicius Junior, Rodrygo, Gareth Bale, Lucas Vazquez dan Isco untuk membantu Karim Benzema selaku penggempur utama.

Apa yang membimbangkan pemenang Piala Dunia 1998 itu, tiada pemain yang menyumbat lebih daripada tiga gol kecuali Benzema (12) selepas 21 perlawanan LaLiga musim ini dan buktinya, mereka terpaksa mengharapkan tandukan seorang pemain pertahanan, Nacho, ketika berdepan Valladolid untuk membawa Los Blancos ke puncak liga.

Menjelang pertemuan dengan anak buah Diego Simeone itu nanti, Los Blancos hampir pasti tidak akan dapat menggunakan pemain yang hadir ke Santiago Bernabeu dengan nilai EUR100 juta (RM447 juta), Eden Hazard, kerana bintang Belgium itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali yang dialami dua bulan lalu.

Jadi, pendapat Zidane sememangnya berasas.

Pasti sukar untuk Real menjuarai LaLiga jika terpaksa mengharapkan kudrat Benzema seorang atau mana-mana pertahanan meledakkan gol kemenangan dalam setiap perlawanan.

Kreativiti dari bahagian tengah yang ditunjangi Toni Kroos, Luka Modric dan Casemiro semestinya ditagih untuk mencipta segenap peluang buat barisan depan sambil mengharapkan penyudah tajam daripada penggempur.