Aksi Liga Super di antara Kuala Lumpur dan Kedah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam menyaksikan kelibat cemerlang Zaquan Adha Abdul Radzak membantu skuad warga kota melakar kemenangan mengejut 4-3 ke atas Lang Merah.

Ketika membuat liputan perlawanan tersebut, aksi yang dipamerkan Zaquan mengingatkan penulis kepada kelibat awal pemain berusia 30 tahun itu dengan Negeri Sembilan dalam temasya SUKMA 2004 di Seremban.

Lebih menarik, aksi dengan Kedah adalah aksi pertamanya dalam Liga Super sebagai pemain kesebelasan utama Kuala Lumpur.

Sejak awal kemunculannya, penulis memang berasa dia mempunyai potensi cukup cemerlang sebagai penyerang harapan baru negara.

Namun, beberapa siri kecederaan serius kerap membataskan potensi pemain ini di peringkat tertinggi.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga, kelibat abang kembarnya, Aidil, juga lebih menyerlah daripadanya.

Namun ketika aksi dengan Kedah, Zaquan membuktikan dia masih mempunyai sentuhan magis selaku penggempur utama.

Ketika bersama ATM, Johor Darul Ta'zim (JDT), JDT2 dan Perak musim lalu, Zaquan lebih kerap mengisi posisi sayap kanan.

Tetapi selepas kejayaan ke atas Kedah, penulis percaya pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel, kini akan terus menurunkan Zaquan selaku penyerang utama berpasangan dengan Guilherme de Paula.

Apa pun, Zaquan perlu terus konsisten selepas ini dan perjalanan musim ini masih panjang buat pemain kelahiran Seremban ini dan juga Kuala Lumpur.

Demi kebaikan skuad kebangsaan yang akan menghadapi Piala Suzuki AFF hujung tahun ini, penulis berharap Zaquan akan terus menjelmakan kematangan dan ketajaman di Liga Super musim ini.

Pujian juga buat Maciel, kerana berani mempertaruhkan penyerang tempatan berdepan Kedah.

Ia juga bukti, penyerang tempatan juga mampu menjelmakan aksi yang baik di Liga Super jika diberikan peluang dan kepercayaan.