Jendela perpindahan musim panas sudah pun bermula. Perebutan mendapatkan bintang ternama semakin hangat diperkatakan apabila beberapa kelab ternama sudah membuat kesimpulan mengenai hala tuju pasukan untuk musim baru.

Banyak perpindahan hanya akan diketahui secara rasmi pada 1 Julai kerana majoriti kontrak pemain akan tamat pada 30 Jun.

Antara pemain yang bakal meninggalkan Liga Perdana Inggeris pada musim panas ini adalah penjaga gol Manchester United, David De Gea.

Penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu membuat 35 penampilan dalam Liga Perdana musim ini, dengan Sergio Romero bermain dalam kempen Liga Europa.

Walaupun kita menyaksikan beberapa penampilan luar biasa yang ditunjukkan oleh De Gea musim ini, penggantinya Sergio Romero merekodkan 12 perlawanan tanpa bolos dalam 18 perlawanan dan dia meyakinkan Jose Mourinho bahawa dia paling layak mengisi slot sebagai benteng terakhir pasukan Red Devils.

Selain De Gea, seorang lagi pemain yang dikaitkan dengan perpindahan musim panas ini adalah legenda Old Trafford, Wayne Rooney.

Penyerang England itu hanya diturunkan dalam 15 perlawanan Liga Perdana Inggeris dan ia adalah jelas bahawa Mourinho tidak bergantung lagi kepada khidmat Rooney.

Terdapat spekulasi bahawa Mourinho bakal menerima dana yang banyak untuk mengharungi musim akan datang dan sedang berunding dengan beberapa pemain bagi menajamkan lagi posisi serangan.

Kedudukan ebagai salah satu pasukan yang akan ke Liga juara-Juara musim hadapan pastinya akan membantu Mourinho untuk menarik pemain terbaik dunia.

Tonggak Arsenal, Alexis Sanchez, pula telah dikaitkan dengan Chelsea, Manchester City dan Manchester United tetapi pengurus Bayern Munich, Carlo Ancelotti, melihat Sanchez sebagai pengganti yang sempurna untuk Franck Ribery yang berusia 34 tahun itu.

Sementara itu, pemain tengah Bayern Munich, Arturo Vidal, mengesahkan bahawa Bayern telah bertanya kepadanya tentang Alexis.

"Saya mahu Alexis di Bayern. Dia beraksi dengan baik di Arsenal tetapi saya fikir dia perlu terus berusaha keras untuk bersaing dalam kalangan pemain terbaik dunia,” katanya.

Sementara itu, terdapat satu tweet yang diberikan oleh Chile FA (kemudian dipadamkan) dengan senarai pemain untuk Piala Konfederasi, dengan Alexis Sanchez telah disenaraikan sebagai pemain Bayern Munich.

Mungkin ia adalah satu kesilapan ataupun mereka tahu sesuatu yang kita belum tahu.

Terdapat khabar angin yang mengatakan Diego Costa tidak gembira di England walaupun dia mempunyai baki dua tahun kontrak bersama Juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Costa telah dikaitkan dengan kelab Liga Super China, Tianjin Quanjin, sejak Januari. Tetapi disebabkan undang-undang cukai baru di China, perpindahan itu tidak menjadi kenyataan.

Penyerang The Blues itu ada menyatakan bahawa dia akan meninggalkan Chelsea hanya untuk Atletico Madrid.

Menurut penolong jurulatih Atletico, Juan Vizcaino, mereka mengalu-alukan Costa dengan tangan terbuka.