Agak kasihan melihat nasib ketua jurulatih England, Gareth Southgate, setelah usai perlawanan akhir Euro 2020, dua hari lalu.

Dia memulakan pertandingan dengan dikritik pedas gara-gara pemilihan barisan pemainnya sewaktu menentang Croatia, sebelum ia digantikan dengan pujian melambung apabila dia berjaya memimpin England untuk layak sehingga ke perlawanan penentuan juara.

Namun, mungkin dia sendiri sudah menjangka yang kritikan akan kembali menghantuinya jika piala gagal dibawa pulang, dan sememangnya itulah yang terjadi.

Rata-rata kritikan nampaknya berkisar kepada pilihannya untuk menjadikan Bukayo Saka, pemain muda berusia 19 tahun, untuk menggalas tugas sebagai penendang sepakan penalti kelima, satu tugas yang sememangnya bertekanan teramat tinggi dan sewajarnya diberikan kepada pemain yang lebih berpengalaman.

Bekas kapten Manchester United, Roy Keane, dengan terang-terang menghentam kapten Aston Villa, Jack Grealish, serta pemain bintang Manchester City, Raheem Sterling, dalam sesi temu ramah bersama stesen televisyen ITV Sport.



"Kalau nama kamu Sterling ataupun Grealish, mana boleh kamu biarkan budak berusia 19 tahun menggalas tanggungjawab berat sebegitu! Budak itu budak pemalu dan masih muda!"

Kenyataan itu disangkal oleh Grealish sehari kemudian yang menyatakan bahawa dia sudah lebih daripada bersedia untuk menjadi salah seorang penendang penalti, tetapi Southgate memutuskan untuk tidak memasukkannya dalam senarai lima penendang utama.

Seorang lagi bekas pemain United dan kebangsaan England, Rio Ferdinand, turut memberikan pendapat pedasnya dalam temu bual bersama akhbar The Daily Mail.

"Kalau saya bandingkan antara Roberto Mancini (ketua jurulatih Itali) dengan Southgate, saya rasa Mancini adalah jurulatih yang lebih baik pada hari perlawanan akhir tersebut.

"Cuba kita lihat pada waktu rehat sebelum separuh masa kedua bermula.

"Mancini mengubah taktik dengan mengarahkan pemain sayap kanan, Federico Chiesa untuk lebih banyak bergerak ke bahagian tengah supaya dapat bergabung dengan pemain sayap kiri, Lorenzo Insigne.

"Mancini juga berani untuk mengeluarkan Ciro Immobile yang langsung tidak efektif pada separuh masa pertama, itulah reaksi jurulatih yang kita perlukan, itulah sebabnya Itali berjaya menjaringkan gol penyamaan dalam separuh masa kedua.

"Southgate pula saya lihat seolah-olah terkesima dalam perlawanan paling penting tersebut.

"Saya tidak faham mengapa Jack Grealish, Marcus Rashford dan Jadon Sancho dimasukkan begitu lewat sekali?

"Southgate seolah-olah mahu menyerahkan nasib kepada sepakan penalti semata-mata dan tidak cuba untuk memenangi perlawanan dalam tempoh 120 minit."



Dari sudut pandangan Southgate sendiri pula, satu artikel akhbar Daily Mail semalam pula mendedahkan bahawa rupa-rupanya dia memilih penendang berdasarkan statistik pemain tersebut dalam sesi latihan.

Sejak bulan September 2020, setiap sesi latihan skuad kebangsaan England telah diakhiri dengan sesi sepakan penalti.

Rekod setiap sepakan penalti dalam sesi latihan tersebut telah direkodkan dan hasilnya menunjukkan bahawa statistik Saka adalah jauh lebih baik berbanding kesemua pemain senior dalam pasukan.

Selain Saka, Jadon Sancho dan Marcus Rashford adalah dua pemain lain dengan statistik terbaik. Disebabkan itulah mereka bertiga dipilih untuk menggalas tugas sebagai penendang utama.

Malangnya, statistik tersebut jelas sekali tidak mengambil kira tekanan yang dirasakan pemain dalam suasana perlawanan akhir, lebih-lebih lagi sewaktu berhadapan dengan berpuluh-puluh ribu penyokong yang dahagakan kemenangan.

Jika faktor tersebut diambil peduli, seharusnya Southgate sedar bahawa pengalaman dan ketenangan adalah jauh lebih penting berbanding statistik semata-mata.

Dalam temu bualnya bersama laman sesawang BBC, Southgate menyatakan yang dia akan terus memimpin England ke Piala Dunia 2022 dan akan berazam untuk memberikan persembahan yang jauh lebih baik lagi.

"Kami akan mencuba sekali lagi, itu pasti.

"Saya memang boleh katakan yang kami akan menyasarkan untuk menjadi juara dalam Piala Dunia di Qatar nanti tetapi itu sememangnya terlalu awal untuk dikatakan buat masa ini.

"Kami perlu melayakkan diri terlebih dahulu dan memulakan segala-galanya dari awal sekali lagi.

"Buat masa ini, saya cukup gembira dapat bekerjasama dengan pemain-pemain yang cukup hebat, tetapi apabila pengakhirannya sebegini, sememangnya ia agak sukar untuk kami hadapi."



Hakikatnya, biarpun Southgate melakukan kesilapan yang agak besar dalam perlawanan akhir kelmarin, kejayaannya mendorong England sehingga ke peringkat ini; tidak dilupakan juga pencapaiannya yang membawa England ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2018; telah menjadikan dia sebagai ketua jurulatih England yang paling berjaya sejak Sir Alf Ramsey yang membawa England untuk menjulang Piala Dunia pada 1966.

Setelah belajar daripada pengalaman ini, serta betapa berbakatnya barisan pemain yang boleh digunakannya, England pastinya bakal kembali dengan ngauman yang lebih garang pada masa akan datang.