WWE Super Show-Down: Perhitungan terakhir Undertaker-Triple H

Hafiz Azwany Taher
Oktober 4, 2018 03:09 MYT
Buat julung-julung kalinya, WWE akan mendarat di bumi Australia pada tanggal 6 Oktober ini bagi sebuah acara eksklusif yang diberi nama WWE Super Show-Down.
Bakal bersiaran secara langsung dari arena Melbourne Cricket Ground dan dipancarkan secara langsung di rangkaian WWE Network, beberapa perlawanan menarik telah dimuktamadkan dengan beberapa kejuaraan utama turut menjadi taruhan.
Namun, tumpuan pastinya terarah kepada sebuah perlawanan istimewa yang melibatkan dua bintang lagenda ikonik di WWE. Triple H dan Undertaker, dua nama yang tidak asing lagi buat peminat gusti di seluruh dunia akan berentap buat kesekian kalinya di bumi kangaroo ini nanti bagi mencari jawapan siapakah yang lebih hebat antara mereka.
Menariknya, pertembungan dua bintang lagenda ini merupakan yang terakhir. Setelah 23 tahun, segala sengketa dan konfrontasi antara mereka selama ini bakal menemui titik noktah dan berakhir buat selamanya.
Jika kita ingin imbas kembali sejarah perseteruan antara dua lagenda ini, segalanya bermula seawal tahun 1995 ketika perlawanan penyingkiran tradisional Survivor Series di antara pasukan Dark Side pimpinan The Undertaker bersama Savio Vega, Fatu dan Henry O Goodwins yang berjaya membenam pasukan The Royals yang dianggotai oleh Jerry “The King” Lawler, King Mabel, Dr Isaac Yankem DDS dan Triple H sendiri yang ketika itu dikenali sebagai Hunter Hearst Helmsley.
Ternyata, Helmsley yang masih hijau ketika itu kecundang mudah di tangan The Deadman yang lebih senior lima tahun daripadanya.
Rakyat Kuwait menjadi peminat pertama menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara dua bintang ini beberapa bulan kemudian. Dalam kejohanan bagi merebut Piala Kuwait, Triple H sekali lagi kecundang dengan tewas secara disqualification (DQ) kepada Undertaker yang berjaya mara ke separuh akhir kejohanan. Namun ia tidak sesekali mematahkan semangat Triple H apabila namanya mula melonjak naik selepas itu sehingga berjaya menggondol Kejuaraan Antara Benua pada lewat tahun 1996.
Ketika acara Shotgun Saturday Night pada Februari 1997, Triple H berjaya menebus maruah dengan menyamakan kedudukan 1-1 apabila berjaya menewaskan Undertaker seterusnya mempertahankan kejuaraannya. Menariknya, perlawanan ini berlangsung di tengah kesibukan stesen keretapi New York dengan penuh aksi mendebarkan.
Kedua bintang ini melupakan sengketa antara mereka seketika pada tahun 1999 apabila Triple H yang sebelum itu menjadi ketua kepada De-Generation X, berpaling tadah dan menyertai gagasan Corporate Ministry yang diketuai oleh Vince McMahon bersama The Undertaker sebagai pemimpin utama. Akibat kecederaan yang dialami oleh Undertaker beberapa bulan selepas itu, nama Triple H terus meroket ke takhta utama WWE apabila bergelar Juara WWE dan terlibat dengan sengketa utama bersama nama-nama besar lain seperti The Rock, Mankind dan Stone Cold Steve Austin.
Pertengahan tahun 2000, Undertaker membuat kejutan apabila muncul setelah hilangndari radar selama beberapa ketika dengan membantu menyelamatkan The Rock dalam perlawanan Iron Man dengan Triple H bagi perebutan Kejuaraan WWE. Yang lebih mengejutkan, Undertaker dilihat berubah 100% daripada karakter sebelumnya dengan menjadi seorang penunggang motor berkuasa tinggi dan menggelar dirinya sebagai The American Badass.
Sengketa mereka akhirnya dibawa ke acara Wrestlemania X-Seven pada tahun 2001. Malangnya, tuah masih belum memihak kepada Triple H kerana beliau tewas di tangan Taker walaupun menggunakan tukul besi sebagai sekutu dalam perlawanan tersebut.
Tindakan Stone Cold Steve Austin yang memilih untuk memilih jalan hitam dengan bersekutu dengan bekas musuh ketatnya, Vince McMahon, turut menarik Triple H untuk menjalin kerjasama dengan bintang keras kepala dari Texas itu. Bersama Austin, mereka bergabung membentuk pasukan Two Man Power Trip dalam usaha untuk menguasai WWE. Austin sebagai Juara WWE manakala Triple H pula sebagai Juara Antara Benua. Tidak cukup dengan itu, mereka turut merangkul Kejuaraan Regu WWE hasil sengketa bersama Kane dan Undertaker yang menggelar diri mereka sebagai Brothers of Destruction.
Sengketa ini melarat sehingga pertengahan tahun 2002 apabila Triple H berjaya menewaskan Undertaker di acara WWE Insurrextion yang berlangsung di kota London. Beberapa minggu selepas itu, Triple H pula kempunan apabila gagal merampas Kejuaraan Undisputed WWE daripada Taker di acara WWE King Of The Ring 2002.
Kedua bintang ini membawa haluan masing-masing selepas itu. Hanya pada tahun 2011, Triple H sekali lagi mencabar Undertaker bagi menebus maruah Shawn Michaels yang tewas dua tahun berturut-turut di tangan Undertaker di acara Wrestlemania sehingga menyebabkan The Heartbreak Kid terpaksa bersara. Dalam perlawanan tanpa sekatan undang-undang di acara Wrestlemania 27, Triple H kecundang lagi dalam usaha untuk memecahkan rekod tanpa kalah Undertaker di Mania, sekaligus menjadikan rekod kemenangan Undertaker tambah melebar kepada 19 berbalas 0.
Triple H masih belum puas. Setahun kemudian di acara Wrestlemania 28, sekali lagi cabaran diutarakan kepada The Phenom. Dengan menggelarnya sebagai perlawanan End of An Era, sangkar Hell In A Cell menjadi saksi betapa ganasnya perlawanan melibatkan dua bintang lagenda ini, sehingga memaksa pengadil undangan Shawn Michaels menjadi tidak keruan melihatkan apa yang berlaku. Walau dibelenggu masalah stamina yang mula mengendur seiring peningkatan usia, Undertaker masih berjaya mempertahankan maruahnya dengan Triple H sekali lagi berputih mata. Penamat perlawanan yang menyaksikan ketiga-tiga mereka beriringan memeluk satu sama lain membayangkan yang ini merupakan penamat kepada segala-galanya menyebabkan emosi penonton menjadi bercampur baur.
Siapa sangka, tahun 2018 akan menyaksikan kedua mereka bertemu sekali lagi. Situasi tambah menarik kerana dalam perlawanan ini, Triple H akan diiringi sahabat karibnya Shawn Michaels. Manakala Undertaker pula akan bersama Kane bagi memastikan perlawanan seimbang dan tiada campur tangan oleh anggota DX tersebut.
Jika melihat kepada rekod kalah menang antara kedua mereka, pastinya kelebihan berpihak kepada Undertaker. Namun segalanya boleh berlaku. Tidak kira siapa pun bakal beroleh kejayaan kelak, yang pasti segala nostalgia di antara dua lagenda ini akan kekal terpahat di kotak ingatan para WWE Universe buat selamanya.
Perlawanan lain di acara WWE Super Show-Down:
1. Bobby Lashley & John Cena lawan Elias & Kevin Owens
2. Daniel Bryan lawan The Miz bagi penentuan tempat sebagai pencabar utama Kejuaraan WWE
3. The Shield (Roman Reigns, Dean Amrose & Seth Rollins) lawan Braun Strowman, Dolph Zigger & Drew McIntyre
4. The Bella Twins & Ronda Rousey lawan The Riott Squad (Liv Morgan, Ruby Riott & Sarah Logan)
5. AJ Styles lawan Samoa Joe dalam perlawanan tanpa pembatalan DQ dan kiraan keluar bagi Kejuaraan WWE
6. Cedric Alexander lawan Buddy Murphy bagi Kejuaraan Cruiserweight WWE
7. The New Day lawan Sheamus & Cesaro bagi Kejuaraan Regu Smackdown
8. Asuka & Naomi lawan The IIconics (Billie Kay & Peyton Royce)
9. Becky Lynch lawan Charlotte Flair bagi Kejuaraan Wanita Smackdown
(Foto: WWE.com)
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Super Show-Down pada Sabtu ini dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
#Undertaker #WWE #Triple H