Ikatan yang dibina hampir setahun lalu berkecai sekelip mata apabila MVP mengumumkan pembubaran gagasan The Hurt Business di acara Raw semalam.

MVP membuka tirai acara dengan membuat cabaran terbuka buat mana-mana bintang Raw yang ada untuk tampil ke depan. Barang siapa yang mampu menundukkan Drew McIntyre sebelum Wrestlemania, individu tersebut bakal berpeluang bertemu dengan Bobby Lashley di acara Wrestlemania yang akan bersiaran kurang dua minggu dari sekarang.

Riak kekecewaan MVP sebagai ketua kepada The Hurt Business terpancar apabila tayangan video memaparkan Cedric Alexander dan Shelton Benjamin yang gagal menumbangkan Drew McIntre minggu lalu walaupun ia adalah perlawanan handicap dua lawan satu. Juara WWE Bobby Lashley menambah rasa luka apabila mendakwa kedua mereka mempunyai peluang besar untuk menewaskan bintang Scotland itu, namun mensia-siakannya. Tambah memalukan apabila Cedric dan Benjamin kehilangan Kejuaraan Beregu Raw kepada The New Day beberapa minggu lalu, menyebabkan Lashley enggan kedua mereka menemaninya lagi selepas ini.

Kata-kata pedas daripada MVP dan Lashley nyata tidak disenangi oleh kedua bekas Juara Beregu Raw itu. Kalau semata-mata ingin memalukan mereka di hadapan khalayak ramai, tidak perlu mereka bersusah payah muncul bersama di gelanggang waktu itu. Shelton Benjamin turut menegaskan, tanpa bantuan kedua mereka, nescaya Lashley tidak akan menjadi juara seperti hari ini.

Kesudahannya menyaksikan Lashley membelasah Shelton dan Cedric tanpa belas kasihan dan MVP menyatakan yang kedua bintang itu bukan lagi anggota Hurt Business.

Di kemuncak acara Raw menyaksikan King Corbin dari Smackdown muncul secara tiba-tiba menyerang Drew McIntyre yang baru sahaja menumpaskan Mustafa Ali sebelum itu. Bersama Bobby Lashley yang berjaya memerangkap Drew dalam kunci The Hurt Lock beberapa kali, akhirnya pencabar utama Kejuaraan WWE itu terkulai layu tidak bermaya sambil Lashley dan Corbin mengangkat tangan tanda kemenangan seraya Corbin menjeling ke arah bengkung Kejuaraan WWE yang disandang Lashley.

Tidak mustahil, sekiranya Corbin dijadualkan untuk bertemu dengan Drew McIntrye minggu hadapan, mungkin perebutan untuk Kejuaraan WWE akan bertukar rentak di mana King Corbin pula akan mengambil tempat Drew dan menjadi pencabar utama. Namun, pastinya MVP dan Lashley telah merangka strategi tersendiri dan tidak semudah itu untuk bintang Smackdown itu memperoleh apa yang dihajatinya itu.

Tidak dinafikan, sejak kemunculan semula MVP sebagai peserta kejutan di perlawanan Royal Rumble 2020 tahun lalu, beliau telah berjaya meletakkan dirinya sebagai individu yang bertanggungjawab menaikkan semula nama Lashley, Cedric dan Benjamin dengan penubuhan The Hurt Business. Boleh dikatakan, tahun 2020 adalah tahun buat pasukan ini kerana merekalah yang saban minggu menghidupkan acara Raw dan mendominasi jenama merah itu. Bayangkan, dengan mudah mereka menumbangkan pasukan Retribution yang cuba membuat kacau sehingga menyebabkan kumpulan pemberontak itu hanya menjadi bahan lawak jenaka sahaja pada hari ini.

Kewujudan The Hurt Business yang menampilkan imej elit golongan African-American seakan mengulangi semula era kegemilangan Nation Of Domination yang dianggotai Kama Mustafa, Mark Henry, D-Lo Brown, The Rock dan dipimpin oleh Faarooq sebagai ketua. Tidak keterlaluan, mereka juga boleh dikatakan jelmaan semula The Four Horsemen dan Evolution yang pernah mencipta sejarah yang tersendiri di era moden ini. Setiap minggu ada sahaja yang menjadi mangsa mereka terutama kepada yang cuba untuk melawan dan ia kekal menjadi antara pakatan yang paling kuat pernah digagaskan. Itulah yang cuba diulangi oleh The Hurt Business.

Sayang sekali The Hurt Business terbubar begitu singkat. Sepatutnya, ia mampu diperkuatkan lagi dengan membawa masuk lebih ramai anggota ke dalam pasukan itu seperti Mustafa Ali, Ricochet, Apollo Crews dan tidak mustahil Kofi Kingston dan Xavier Woods daripada pasukan The New Day. Pasti ia akan menjadi sebuah pasukan yang digeruni dan merangkul semua kejuaraan yang ada pada hari ini. Malang sekali, setiap yang bermula, pasti akan berakhir.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara Wrestlemania 37 pada 11 dan 12 April ini serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.