Permulaan bulan Oktober tahun ini amat signifikan buat WWE apabila gergasi sukan hiburan ini akan memasuki fasa baharu dan pelbagai perubahan bakal ditampilkan untuk kesemua acara mingguan mereka iaitu Raw, Smackdown dan tidak ketinggalan NXT.

Susulan perpindahan acara Smackdown daripada rangkaian USA Network ke Fox Sport untuk tayangan di Amerika Syarikat bermula minggu ini, rombakan besar-besaran telah dilakukan bagi menjenamakan semula jenama kedua WWE ini dan ia turut akan melibatkan jenama Raw yang juga memasuki musim baharu.

Beberapa sumber dalaman WWE telah mengesahkan yang Raw dan Smackdown akan tampil dengan dua identiti berbeza bagi setiap acara termasuk prop, pentas termasuk bintang bagi setiap jenama. Tidak cukup dengan itu, pasukan pengulas turut diubah bagi membawa imej baharu bagi setiap acara.

Bermula minggu ini, acara Raw akan menampilkan dua muka baharu sebagai pengulas utama iaitu Vic Joseph dan Dio Madden yang sebelum ini mengendalikan acara 205 Live. Gandingan mereka akan turut dimeriahkan dengan suara bintang lagenda Hall Of Fame iaitu Jerry “The King” Lawler yang akan turut sama memberikan ulasan yang lebih terperinci terhadap setiap perlawanan yang sedang berlangsung.

Michael Cole yang menjadi pengulas utama di Raw sebelum ini pula akan kembali ke jenama Smackdown bersama Corey Graves. Jika sebelum ini Graves melakukan dua tugasan dengan mengulas untuk Raw dan Smackdown, bekas Juara Beregu NXT ini akan kekal bergandingan dengan Cole di kerusi pengulas Smackdown dan tidak akan lagi muncul di Raw.

Pengulas kecil molek Renee Young pula tidak akan lagi menyertai Cole dan Graves kerana bakal menggalas tugasan sebagai perantara bagi program WWE Studios untuk saluran Fox yang bakal bersiaran pada setiap Rabu.

Perkara paling penting untuk diberi perhatian juga adalah perubahan waktu siaran acara Smackdown. Jika sebelum ini ia bersiaran pada setiap Rabu, bermula minggu ini acara tersebut akan disiarkan pada setiap Sabtu jam 10.00 malam di saluran Astro Supersport 4.

Ia merupakan suatu perubahan yang cukup baik kepada peminat WWE di Malaysia kerana berpeluang untuk menyaksikan siaran tertunda Smackdown pada hari yang sama sepertimana acara Raw dan bukan lagi lewat sehari seperti sebelum ini.

Pastinya WWE Universe amat teruja untuk menantikan wajah baharu Raw dan Smackdown di mana pada minggu ini, beberapa perlawanan menarik telah diatur yang pastinya akan menggamit tontonan peminat gusti di seluruh dunia.

Di acara Raw minggu ini, kejuaraan Universal WWE bakal dipertandingkan di mana penyandang juara Seth Rollins akan dicabar oleh bintang bertopeng lagenda Rey

Mysterio setelah bekas Juara Dunia WWE itu berjaya mengenepikan cabaran daripada AJ Styles, Shinsuke Nakamura, Ricochet dan Robert Roode dalam perlawanan lima penjuru bagi menempah slot sebagai pencabar utama di acara Raw minggu lalu.


Acara NXT yang kini juga telah bersiaran di saluran perdana turut akan mempertandingkan kejuaraan utama mereka di mana Adam Cole akan menerima cabaran daripada Matt Riddle yang berjaya menempah tiket untuk bertemu ketua gagasan Undisputed Era itu dengan menewaskan Killian Dain pada minggu sebelumnya.

Dan pastinya tumpuan akan terarah kepada acara sulung Smackdown di rangkaian baharu pada hujung minggu ini apabila bekas Juara Universal WWE Brock Lesnar akan mencabar Kofi Kingston untuk Kejuaraan WWE. Adakah dominasi Kofi sebagai juara akan menemui titik noktahnya kerana secara teorinya, Brock Lesnar pasti akan mudah meratah bintang kelahiran Ghana tersebut seterusnya bergelar Juara WWE yang baharu.



Walau apapun keputusan setiap perlawanan yang bakal berlangsung pada minggu ini, para bintang WWE di setiap jenama sekali lagi akan didrafkan secara eksklusif untuk Raw dan Smackdown. Penentuan siapa yang akan menduduki Raw dan Smackdown akan terjawab di acara Smackdown pada 12 Oktober depan dan diikuti pada 15 Oktober di acara Raw. Ini bermakna, tiada lagi wild card rules dan semua bintang yang telah didraf akan menjadi hak eksklusif jenama masing-masing.

Perubahan demi perubahan yang dilakukan WWE ini tidak lain tidak bukan adalah untuk memastikan produk yang mereka hasilkan akan tetap menjadi pilihan utama peminat gusti seantero dunia. Ini sesuatu yang amat menarik kerana suka ataupun tidak, peminat gusti kini mempunyai pelbagai alternatif kerana banyak organisasi lain juga kini telah mempunyai slot mingguan mereka sendiri dalam usaha memberikan saingan kepada syarikat milik keluarga McMahon tersebut.

Sudah tentu pertembungan ini akan membawa peminat gusti kembali ke era Monday Night Wars pada lewat 90an dahulu yang menyaksikan WWE Raw bersaing setiap minggu dengan acara WCW Monday Nitro. Kedua-dua pihak berusaha sehabis baik untuk meraih perhatian daripada peminat gusti yang tidak akan teragak-agak untuk mengubah siaran sekiranya apa yang ditonton tidak mendapat tempat di hati mereka.

Yang pasti, sukan gusti profesional kini telah kembali rancak dan ia sekaligus memberikan situasi menang-menang kepada yang meminati sukan hiburan ini. Kerana persaingan sengit sudah tentu akan menatijahkan persembahan yang terbaik dan WWE yang mempunyai pengalaman luas dan jatuh bangun dalam industri ini akan menggunakan apa jua senjata ampuh yang mereka miliki untuk memastikan mereka sentiasa di hadapan dan kekal menjadi peneraju sukan hiburan ini hingga ke generasi seterusnya.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Hell In A Cell pada 7 Oktober ini dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.