Hasrat Finn Balor untuk kembali merampas Kejuaraan Universal WWE daripada Roman Reigns terkandas lagi apabila tewas di acara WWE Extreme Rules semalam.

Tampil dengan karakter alter-egonya The Demon, bintang kelahiran Ireland itu berjaya menguasai rentak perlawanan Extreme Rules dengan menggunakan pelbagai objek asing seperti rotan kendo, kerusi besi dan meja. Roman yang pada asalnya seperti memandang rendah cabaran daripada The Demon, terpaksa menukar strateginya apabila turut bertindak agresif bagi mendepani serangan bertali arus daripada bintang berusia 40 tahun itu.

Oleh kerana perlawanan berstipulasi Extreme Rules ini tidak mempunyai sebarang kekangan dan sekatan undang-undang, perlawanan turut melarat sehingga ke tempat duduk penonton. Menariknya di sini, Roman dilihat terus mematuhi SOP (standard operating procedure) ketika berada di sekeliling penonton dengan mengenakan pelitup muka ketika membelasah The Demon di kawasan yang berkepadatan tinggi itu. Tindakan yang pastinya diambil bagi melindungi dirinya yang merupakan bekas pesakit leukemia dan termasuk dalam golongan rentan.

Perlawanan semakin mendebarkan apabila ahli Bloodline iaitu The Usos masuk mengganggu perlawanan dan turut membelasah The Demon. Mujur ia berjaya dikesampingkan walaupun tidak lama selepas itu, The Demon menerima satu rempuhan bahu yang cukup padu daripada Roman di dinding penghadang di sisi gelanggang.
Lampu yang terpadam dan bertukar kemerahan ibarat memberikan kuasa baru buat The Demon. Bangkit dengan amarah dan kembali bertenaga, The Demon membelasah Roman selajur cuba melakukan gerakan penyudah Coup The Grace ke atas Roman yang terbaring di tengah gelanggang. Namun entah di mana silapnya, puncak tali gelanggang tiba-tiba putus menyebabkan The Demon terjelepuk jatuh dan peluang ini diambil Roman dengan melancarkan satu lagi spear, seterusnya menyudahkan kiraan pin sekaligus mempertahankan kejuaraannya.

Kemenangan Roman yang sememangnya sudah dijangka ini akan menatijahkan pertembungan bagi merebut Kejuaraan Universal dengan Brock Lesnar di acara WWE Crown Jewel pada penghujung Oktober ini.

Keputusan perlawanan lain di acara WWE Extreme Rules:
1. Liv Morgan kalahkan Carmella di perlawanan pra acara
2. The New Day tewaskan gandingan Bobby Lashley, AJ Styles & Omos
3. The Usos pertahankan Kejuaraan Beregu Smackdown dengan menumbangkan Street Profits
4. Charlotte Flair kecewakan Alexa Bliss dengan mempertahankan Kejuaraan Wanita Raw
5. Damian Priest ketepikan cabaran tiga penjuru daripada Sheamus dan Jeff Hardy untuk mempertahankan Kejuaraan Amerika Syarikat
6. Perlawanan di antara Becky Lynch dan Bianca Belair bagi merebut Kejuaraan Wanita Smackdown berakhir tanpa pemenang apabila Sasha Banks membelasah kedua-duanya

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Crown Jewel pada 22 Oktober depan dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.