Setelah Bray Wyatt mencipta kejutan tahun lalu dengan memenangi perlawanan Elimination Chamber anjuran jenama Smackdown Live tahun lalu, kini tiba giliran jenama Raw pula untuk mengelola acara ini pada Februari 26 dengan enam orang bintang bakal berentap sesama sendiri di dalam sangkar penuh azab tersebut.

Sehingga laporan ini ditulis, tiga orang bintang telah mengesahkan tempat iaitu John Cena, Braun Strowman dan Elias, di mana masing-masing telah melayakkan diri apabila berjaya menewaskan lawan mereka di acara Raw minggu lalu.



Braun Strowman membenam Kane dalam perlawanan Last Man Standing dengan menterbalikkan meja pengulas di atas tubuh bintang lagenda tersebut sehingga memaksa The Big Red Machine dikejarkan ke hospital. Elias pula bernasib baik dapat menewaskan Matt Hardy hasil gangguan Bray Wyatt. Manakala Cena pula membuktikan dirinya masih gagah dengan mengalahkan ketua gagasan Balor Club, Finn Balor di acara kemuncak.

Hari ini, acara Raw akan menamakan seorang lagi bintang bagi menyertai Strowman, Elias dan Cena. Bekas Juara Antara Benua WWE, Roman Reigns akan berhadapan dengan pemenang Elimination Chamber tahun lalu iaitu Bray Wyatt. Secara atas kertas, nampak kelebihan akan berpihak kepada Roman dan Matt Hardy pula sudah tentu tidak akan berdiam diri. Dendam diganggu minggu lalu pasti dibawa ke minggu ini ke atas Wyatt, sekaligus meneruskan lagi sengketa penuh kegilaan antara mereka.

Cena, Strowman dan Elias pula akan terlibat dalam perlawanan tiga penjuru di mana pemenang akan mendapat tempat sebagai penggusti paling akhir untuk keluar daripada ruangan kaca, seterusnya memberikan kelebihan untuk menyingkirkan bintang-bintang lain yang telah beraksi lebih awal.

Jika Roman menepati ramalan, bermakna ada dua slot lagi untuk direbut. Tumpuan kini pasti terarah kepada beberapa bintang ramalan penulis. Antaranya adalah Juara Antara Benua, The Miz dan bekas Juara Regu WWE, Seth Rollins.

Mengapa penulis meletakkan nama Rollins sebagai salah seorang calon peserta? Setelah gandingannya bersama Jason Jordan tewas kepada The Bar di acara Royal Rumble minggu lalu, tidak mustahil Rollins akan kembali bergerak solo selepas ini bagi kembali menempatkannya sebagai antara bintang elit Raw seperti beberapa tahun lalu.



Tambahan pula, Jordan turut dilaporkan sedang dibelenggu kecederaan leher yang agak serius waktu ini, dan memungkinkannya untuk berehat lama yang tidak mustahil akan mengambil masa sehingga setahun. Menurut laporan dari Wrestling Observer Newsletter, Jordan telah mula hilang kekuatan di tangannya, seakan menyamai kecederaan leher yang pernah dialami oleh bintang lagenda Arn Anderson dan mendiang Chris Benoit.

Justeru, jika dihimpunkan keenam-enam bintang ini kelak (Cena, Strowman, Elias, The Miz, Roman & Rollins), nama Roman pasti menjadi pilihan kerana pemenang perlawanan ini kelak akan mengikat janji temu dengan Brock Lesnar bagi Kejuaraan Universal WWE di acara Wrestlemania pada 9 April depan.

Sebagai ayam tambatan Vince McMahon era ini, kelihatan hanya Roman yang dilihat paling dominan untuk mendepani Lesnar. Tanpa menafikan kehebatan bintang lain, hanya Roman mampu menjadi ‘orang harapan’ WWE untuk merampas kejuaraan paling berharga jenama Raw itu daripada Lesnar, setelah hampir setahun jaguh berusia 40 tahun itu mendominasi dan membuat bintang lain berputih mata.



Sekaligus, pertemuan Roman dan Lesnar ini akan mengulangi semula sejarah pertembungan mereka di acara Wrestlemania 31 pada tahun 2015, dengan Roman nyaris bergelar juara sebelum perlawanan dicemari oleh Seth Rollins yang menunaikan kontrak Money In The Bank di hujung perlawanan.

Acara Elimination Chamber tahun ini juga bertambah menarik kerana buat pertama kali sejak ia diperkenalkan oleh Eric Bischoff dan hasil idea Triple H pada tahun 2002, enam orang bintang wanita akan turut mempertaruhkan stamina dan kekuatan mereka di sangkar yang sama.

Berbeza dengan Brock Lesnar yang hanya akan menjadi penonton, penyandang Kejuaraan Wanita Raw, Alexa Bliss terpaksa menelan hakikat yang pedih apabila kejuaraan miliknya bakal menjadi taruhan.



Asuka sebagai pemenang acara Royal Rumble akan menjadi penonton kali ini kerana telah mengesahkan tempat di Wrestlemania. Tugasnya nanti hanyalah menyaksikan siapakah yang bakal menjadi lawannya kelak selepas pemenang dinobatkan dalam sangkar Elimination Chamber ini nanti.

Jika dilihat pada senarai bintang wanita Raw sedia ada, berkemungkinan Miss Bliss akan menerima tentangan daripada bintang dominan wanita seperti Sasha Banks, Bayley, Nia Jax, Mickie James atau Dana Brooke. Tidak mustahil anggota Absolution yang dipimpin Paige iaitu Sonya Deville dan Mandy Rose juga bakal layak, menjadikan perebutan tempat ke acara Elimination Chamber ini akan tambah menarik untuk diikuti.

Pada penulis, bagi menambah lagi hype perlawanan pertama dalam sejarah ini, alangkah molek sekiranya bintang mega yang baru saja mengumumkan penyertaannya ke WWE minggu lalu, Ronda Rousey turut serta dalam perlawanan ini. Bukan saja kehebatan Ronda mampu diuji, ia juga boleh dijadikan medan untuk Ronda ‘berkenal mesra’ dengan lebih rapat bersama bintang lain.



Pasti ia akan menjadi sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh para WWE Universe. Bukan sahaja menjadi pemenang, malah Ronda keluar dari sangkar sebagai Juara Wanita Raw yang baharu, seterusnya bertemu jaguh tidak terkalah Asuka di Wrestlemania. Jika ia menjadi kenyataan, tiada lain yang penulis akan katakan selain ungkapan “shut up and take my money!”

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acaraWWEElimination Chamber dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.