Perlawanan kemuncak acara WWE Crown Jewel yang berlangsung tengah malam tadi berakhir penuh kejutan apabila Brock Lesnar tewas selajur gagal untuk merebut Kejuaraan Universal daripada Roman Reigns.

Terdahulu, Brock disambut penuh gegak gempita dengan sorakan peminat yang membanjiri Arena Mohammed Abdu di Riyadh, Arab Saudi dengan sebahagian besar mengharapkan agar The Beast mampu menghentikan dominasi Roman selama 416 hari sebagai juara tertinggi di jenama Smackdown.

Perlawanan pertama Lesnar selepas 19 bulan tidak beraksi tidak menunjukkan tanda-tanda bintang berusia 44 tahun ini mengalami ring-rust malah tetap tampil perkasa. Brock memulakan serangan ke atas Roman menyebabkan The Tribal Chief tercari-cari arah untuk menangkis serangan daripada The Beast.


Setelah gagal menarik Roman ke Suplex City, servis bertukar tangan apabila Roman pula dilihat mendominasi perlawanan sehingga melarat ke luar perlawanan. Beberapa tumbukan layang Superman Punch juga dilancarkan ke atas Lesnar namun belum cukup berbisa untuk menumbangkan bekas juara WWE dan UFC itu.

Satu ketika, Lesnar berjaya bangkit semula mengumpul kekuatan dan berupaya melancarkan gerakan penyudah F5 ke atas Roman. Oleh kerana Roman masih mempunyai kudrat untuk melawan, satu lagi F5 cuba dilakukan. Malang sekali apabila kaki Roman yang terpusing mengenai pengadil bertugas Charles Robinson menyebabkan perlawanan tiada pengadil untuk mengadili dan melakukan kiraan pin.


Paul Heyman yang masih berteka-teki sama ada memihak kepada Roman atau Lesnar, bertindak melemparkan bengkung kejuaraan Universal di tengah gelanggang. Ia selajur direbut kedua bintang itu untuk dijadikan senjata. Pasangan The Usos muncul lantas melancarkan satu tendangan padu tepat ke Lesnar disusuli dengan satu pukulan ke kepala dengan bengkung kejuaraan oleh Roman. Lesnar terkulai tidak sedarkan diri dan Chad Patton selaku pengadil gantian muncul dan menyudahkan kiraan pin sekaligus menobatkan Roman kekal sebagai juara.


Keputusan kontroversi yang menutup tirai acara Crown Jewel ini pastinya tidak akan terhenti begitu sahaja. Lesnar tentunya enggan tunduk mengalah begitu sahaja dan perlawanan ulangan akan mengambil tempat tidak lama lagi.

Sebelum meninggalkan bumi Arab Saudi semalam, Brock sempat mengeluarkan amaran yang dirinya akan muncul di acara Smackdown selepas ini dan membelasah Roman secukup-cukupnya.

Keputusan lain acara WWE Crown Jewel:
1. Edge kalahkan Seth Rollins dalam perlawanan Hell In A Cell
2. Mansoor tumpaskan Mustafa Ali
3. RK-Bro (Riddle & Randy Orton) pertahan Kejuaraan Beregu Raw dengan tewaskan AJ Styles & Omos
4. Zelina Vega memenangi Kejohanan Queen’s Crown dengan ketepikan cabaran daripada Doudrop
5. Lashley tewas kepada Goldberg dalam perlawanan Tanpa Sekatan
6. Xavier Woods dimahkotakan sebagai King Of The Ring dengan menumpaskan Finn Balor
7. Drew McIntyre gagal merampas Kejuaraan WWE daripada Big E
8. Becky Lynch kekal juara dengan mengenepikan cabaran tiga penjuru daripada Sasha Banks dan Bianca Belair

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Survivor Series pada 22 November 2021 dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.