Pernah ada satu masa apabila Tiger Woods mendominasi golf seperti tiada sesiapa yang lain sebelumnya dan sukan itu sangat memerlukan kehadirannya.

Kini, putaran kehidupan menyaksikan Woods yang lebih memerlukan sukan itu, lebih daripada permainan itu menagih hayunannya.

Woods, yang pernah membenci acara berpasukan seperti Piala Presiden, kini menagihnya sebagai salah satu acara terpenting dalam kalendarnya kerana ia memberikannya talian hayat gara-gara ketidakupayaannya untuk bertanding ketika ini – dan mungkin juga buat selama-lamanya.

Ia secara tidak langsung menjadikan saingan Piala Presiden yang bermula di Kelab Golf Liberty National, New Jersey hari ini, terlalu istimewa untuknya. Ia menawarkannya kesempatan untuk bergaul dengan pemain-pemain selaku penolong kapten kepada Steve Stricker dalam pasukan Amerika Syarikat.

Bercakap secara jujur buat kali pertama sejak ditahan polis kerana memandu di bawah pengaruh bahan terlarang pada penghujung Mei lalu, Woods tidak berselindung mengenai ketidakpastian terhadap masa depannya di sebalik tekad untuk kembali bertanding secara kompetitif.

“Saya tidak pasti bagaimanakah masa depan saya,” katanya dalam sidang akhbarnya menjelang bermulanya Piala Presiden.

Ditekan dengan soalan “Apakah anda boleh melihat satu senario di mana anda tidak mampu kembali bermain golf secara kompetitif?”

“Ya, sudah pasti,” jawab Woods. “Saya benar-benar tidak tahu apa yang masa depan janjikan buat saya.”

Hanya April lalu, Woods menjalani pembedahan ‘fusion’ terhadap belakangnya – kali keempat belakangnya dibedah – hanya untuk menimbulkan gempar sebulan kemudian apabila dia ditemui polis tertidur dalam kereta Mercedes-Benznya yang berhenti dengan mencurigakan di tepi jalan pada awal pagi berhampiran kediamannya di Jupiter, Florida.



Kelegaan buatnya ialah ujian ‘breathalyzer’ mendapati dia bukan di bawah pengaruh alkohol, sebaliknya gara-gara campuran ubat penahan sakit dan ubat penenang yang diambilnya.

Tidak cukup dengan itu, gambar-gambar bogelnya yang digodam daripada telefon bimbit bekas teman wanitanya, Lindsey Vonn, pula menjadi tular di internet sehingga dia mengugut untuk mengambil tindakan menyaman mereka yang melakukannya.

Kesimpulannya, ia adalah bulan-bulan yang sukar buat juara grand slam 14 kali itu pada ketika dia masih terpaksa menjauhi sebarang pertandingan.

“Ada ketika-ketikanya apabila saya tidak tahu sama ada saya akan berada di sini kerana saya tidak boleh menaiki buggy,” kata Woods merujuk kepada kesakitan belakangnya.

“Untuk memandu kereta pun, saya berasa sakit. Tapi semua itu sudah hilang dan ia menakjubkan. Ya, ada masa-masa yang meragukan bukan hanya untuk golf, malah mengorak langkah ke hadapan.”

Minggu lalu, Woods mengeluarkan satu kenyataan di laman webnya sebagai memaklumkan dia sudah mula memukul bola sejauh 60 ela tetapi belum dibenarkan doktor untuk membuat hayunan penuh.

“Jadual waktu saya adalah berdasarkan apa yang dicadangkan pakar bedah saya,” kata Woods. “Keseluruhannya, saya amat optimistik dengan kemajuan saya.

“Kesakitan sudah tiada lagi tapi saya tidak tahu bagaimana bentuk tubuh golf saya akan jadi kerana saya belum lagi memukul dengan hayunan penuh. Itu akan mengambil masa untuk ditetapkan dan menilai keupayaan saya untuk ke hadapan. Dan saya tidak akan terburu-buru.

Ia seakan-akan baru semalam Woods tidak pun memerlukan bantuan sesiapa selain dirinya sendiri – dia sudah biasa dengan keterasingan dan sangat taksub mengejar kegemilangan yang dihajatinya.

Sebaliknya, kini dia lebih mesra dan terdesak untuk menjadi salah seorang pemain golf di puncak – seperti barisan pemain yang mewakili Amerika Syarikat dan Pasukan Antarabangsa (tidak termasuk wakil Eropah) yang bersaing dalam Piala Presiden minggu ini.

Berbanding kejohanan individu dalam Jelajah PGA, Jelajah Eropah dan Grand Slam – Terbuka AS, Masters, Terbuka British dan Kejohanan PGA – yang menjadi buruan utamanya ketika dia di kemuncak kegemilangan, Woods kini mengalihkan tumpuan kepada acara berpasukan Piala Presiden dan Piala Ryder.

Sekurang-kurangnya di sana dia masih dihargai tanpa perlu menghayun kayu golfnya.