Siapa tidak kenal dengan Safiq Rahim. Antara pemain tengah paling berbakat di Malaysia buat masa sekarang. Turut tidak keterlaluan andai dikatakan dia antara pemain yang paling popular di Malaysia selain merupakan pencinta kucing.

Bermula dengan pasukan Selangor, KL Plus FC, kemudian bersama Selangor semula sebelum meniti zaman kegemilangan bersama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Kegemilangan yang diraih bukan setakat di negeri selatan tanah air sahaja, malah berbagai anugerah dan pencapaian tertinggi berjaya digapai bersama pasukan kebangsaan.

Di JDT, kejuaraan Liga Super tanpa henti sejak 2014, juara Piala AFC, Piala FA, Piala Sumbangsih dan terbaru, Piala Malaysia 2017. Dia turut pernah memenangi pemain tengah terbaik Anugerah FAM sebanyak empat kali.

Di peringkat Asia Tenggara pula, Safiq pernah memenangi Piala AFF Suzuki 2010 selain berbagai anugerah individu seperti Penjaring Terbanyak AFF 2012, tersenarai di dalam skuad pilihan AFF 2012 dan Pemain Paling Bernilai AFC 2015.

Dengan bakat dan tunjuk ajar yang betul, Safiq boleh dikatakan antara salah satu produk terbaik yang pernah dilahirkan oleh pembangunan akar umbi Malaysia, dan Selangor khususnya.

Tidak dinafikan bahawa bakat Safiq turut menjadi kebanggaan peminat bola sepak di Malaysia selain pernah menarik minat beberapa kelab luar untuk memancing dirinya.

Tapi sayang, di sebalik tular berbagai kemeriahan sambutan JDT menjadi juara Piala Malaysia, penulis terlihat satu video yang menyaksikan Safiq memaki hamun ‘haters’ selepas perlawanan dengan menggunakan kata-kata kesat.

Inikah contoh yang ditunjukkan oleh seorang ketua pasukan JDT dan kebangsaan?

Adakah ini bukti bahawa Safiq sebenarnya memang terkesan dengan ‘haters’?

Penulis faham Safiq mungkin terlalu gembira sehingga secara tidak sengaja meluahkan rasa geram yang lama tersemat di dada.

Malah, penulis juga faham andai rasa geram itu pernah diluahkan sewaktu ‘kopi-kopi’ bersama rakan, namun Safiq perlu peka dengan zaman di mana segala-galanya hanya di hujung jari.

Penulis berasakan ia satu kerugian besar buat Safiq kerana tiada impak positif buatnya di sebalik tularnya video sebegitu, bahkan hanya menambah persepsi negatif di kalangan orang awam terhadapnya.

Apapun, ini hanyalah pandangan peribadi penulis terhadap video Safiq itu.

Diharapkan Safiq mampu belajar daripada kesilapan selain menjadi contoh kepada pemain muda lain untuk berjaya sepertinya tanpa mengetepikan kesantunan.