Jaringkan 25 gol dalam 28 perlawanan musim ini tetapi Timo Werner tidak diturunkan pada perlawanan getir RB Leipzig menentang Einthract Frankfurt ke suku akhir Piala Jerman.

Pengendali Leipzig, Julian Nagelsmann nampaknya lebih rela dikritik dengan barisan longlai berbanding mengagungkan peranan penyerang muda Jerman itu dalam pasukan.

Mungkinkah Nagelsmann terasa hati atau ini secara tidak langsung menggambarkan kesungguhannya untuk mula berdikari tanpa Werner yang dikaitkan dengan perpindahan ke England.

Werner yang akan menyambut hari lahir ke-24 bulan hadapan telah menarik minat beberapa kelab seperti Chelsea, Liverpool dan Manchester United.

Dalam satu temubual bersama akhbar tempatan, Werner tidak berselindung tentang keinginannya untuk beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris tanpa merujuk kelab tertentu.

Namun dengan resume hebat - menjaringkan keseluruhan 86 gol dan 37 bantuan gol dalam 142 aksi sejak bersama Leipzig pada 2016 serta pakej yang datang bersama fizikal hebat dan usia muda, Werner boleh memilih mana-mana pasukan sekali pun.

Werner juga kini tersenarai sebagai antara 5 pemain terhangat di pasaran eropah yang membawa maksud, dia mampu meletakkan harga tertentu untuk sebarang perjanjian baharu.

Secara rambangnya, Chelsea dan Liverpool dikatakan pasukan yang lebih ideal buat Werner untuk bertapak di bumi inggeris - namun sokongan jurulatih senegara, Jurgen Klopp mungkin memberi kelebihan dalam mencorak masa depan Werner.

Dengan perkembangan hebat Liverpool musim ini, pemain mana yang akan menolak untuk bersama sang juara tidak lama lagi tetapi sekiranya kejuaraan yang dicari, Werner tidak jauh untuk membawa leipzig menjulang trofi Bundesliga dengan kini hanya dibezakan 1 mata dengan Bayern Munich - Itu pun sekiranya hubungan Werner dan Nagelsmann memang tidak bermasalah.