Arsene Wenger menamatkan spekulasi selepas mengambil keputusan untuk menyambung kontrak selama dua tahun selaku pengurus pasukan Arsenal.

“Saya sayang kelab ini dan nampak masa depan yang penuh keterujaan. Saya bersyukur untuk mendapat sokongan daripada lembaga pengarah dan Stan (Kroenke) berusaha secukupnya untuk membawa kelab ini terus memenangi trofi,” kata Wenger kepada Arsenal.com.

Ia sekaligus memadamkan harapan kelompok penyokong ‘WengerOut’ yang mengharapkan pengurus berbangsa Perancis itu untuk tidak menyambung kontraknya.

Perpecahan kelompok penyokong The Gunners mula kelihatan ketika Arsenal tewas memalukan kepada Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara.

Kemarahan mereka terus memuncak selepas aksi begitu longlai dalam saingan liga sehingga menolak pasukan dalam kalangan kelompok lima teratas carta liga .

Akhirnya, mimpi buruk bertukar realiti, Arsenal buat pertama kali selepas 21 tahun, gagal melayakkan diri dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Wenger dicemuh, posternya diangkat dalam setiap perlawanan, malah ada antara mereka sanggup membelanjakan duit dengan menyewa pesawat ringan untuk membawa kain rentang ketika perlawanan berlangsung.

Mujur, api kemarahan penyokong dapat dipadamkan sedikit demi sedikit, selepas kejayaan cemerlang membenam cabaran Chelsea untuk merangkul Piala FA buat kali ke-13.
Ia juga mengangkat Wenger sebagai pengurus paling berjaya dalam sejarah Piala FA, dengan rekod tujuh kejuaraan.

Trofi Piala FA dilihat sebagai talian hayat yang dipakai Wenger untuk menaikkan kembali keyakinan penyokong yang semakin terhakis.

Sambungan dua tahun kontrak yang diterima Wenger membawa mesej yang cukup jelas: dia masih ada misi yang perlu di selesaikan, sama ada muncul juara Liga Perdana atau trofi Liga Juara-juara sebelum mengundurkan diri.

Mungkin misi Liga Juara-juara perlu di tunggu sekurang-kurangnya selepas musim depan, itupun jika Arsenal layak beraksi. Dek kerana itu, Wenger memilih dua tahun, dan bukan setahun.

Musim depan misinya cukup jelas -- memenangi Liga Perdana yang kali terakhir didakapi pada musim 2003/2004.

Wenger dilabel sebagai pengurus yang kekal ditakuk lama, tanpa sebarang perubahan , dan kerana itu dia terus gagal muncul juara liga.

Egonya sebagai pengurus dari zaman 90an masih terserlah, selepas pendedahan lagenda Arsenal Tony Adams yang bertelagah dengannya.

“Wenger akan dipecat dengan keputusan ini jika di Madrid. Dia akan pergi dari satu kelab ke kelab yang lain. Tetapi di Arsenal, dia sungguh dominan. Lembaga pengarah tidak akan melakukan apa-apa.”

Adams menambah, “Dia mendapat gaji yang lumayan, jadi dia boleh lakukan apa yang dia kehendaki. Saya rasa Arsene tidak boleh melepaskannya. Ia sudah menjadi satu ketagihan.”

Namun perubahan pada taktikal 3-4-2-1 memberi sinar harapan baru buat kelab utara London itu.

Kekalnya Wenger, mungkin akan mengubah keputusan duo Arsenal Alexis Sanchez & Mesut Ozil di The Emirates.

Mereka menangguhkan proses menandatangani kontrak baru, sehingga situasi Wenger benar-benar stabil.

Kedua-duanya kini ditawarkan kontrak lumayan, anggaran 275 ratus ribu pound seminggu, yang merupakan bayaran tertinggi dalam sejarah kelab.

Jika kedua-dua pemain ini kekal, ditambah dengan kemasukan 2,3 pemain baru untuk musim hadapan, tidak mustahil Arsenal boleh mencabar kejuaraan liga.

Wenger memilih untuk kekal, walaupun berpeluang keluar dengan noktah indah selepas menyumbang Piala FA ke-7 kepada kelab.

Wenger, semoga anda tidak menyesal dengan keputusan ini!