Kehebatan dan kehandalan tonggak import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero, memang tidak boleh disangkal. Kedua-dua mereka merupakan nadi utama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) sama ada dalam saingan domestik mahupun Asia.

Terbaru, kedua-dua mereka muncul wira Harimau Selatan apabila membantu kemenangan 2- 1 ke atas South China dengan masing-masing meledakkan satu gol untuk JDT menang agregat 3–2, sekaligus melayakkan diri ke peringkat separuh akhir dan berpeluang mempertahankan kejuaraan Piala AFC yang dimenangi musim lalu.

Diaz yang bermain sejak musim lalu dan Lucero yang menyertai JDT awal musim ini menggantikan tempat Figueroa, ternyata menenggelamkan aksi anak-anak tempatan dalam pasukan JDT terutama sekali pemain barisan penyerang seperti Safee Sali. Kedua-dua mereka muncul penjaring terbanyak JDT dalam saingan Liga Super dengan 17 gol dan 13 gol.

Dengan kejuaraan Liga Super 2016 sudah berada dalam genggaman, JDT kini perlu fokus dalam saingan Piala AFC memandangkan mereka 'memilih' untuk tidak beraksi dalam saingan Piala Malaysia. Diharapkan, kedua dua tonggak import dari Argentina itu mampu membantu JDT dalam mengukir nama JDT di mata dunia.