Dalam kemeriahan kita menikmati liga besar seperti di England, Sepanyol, Jerman dan Itali, peminat sukan bola sepak kini mula memperkatakan tentang liga yang berlangsung di China.

Mana tidaknya nama- nama besar yang sudah tidak asing lagi di Eropah mula hilang dari radar setelah telah dipancing oleh kelab-kelab dari China.

Jika kita bandingkan liga China dan liga besar di Eropah kedudukannya adalah sangat jauh berbeza dari setiap sudut.Apa yang menarik minat pemain- pemain ternama berhijrah ke China sudah tentunya tawaran lumayan yang diberikan sehingga boleh dikatakan tidak masuk akal.

Lebih menarik lagi pemain yang berhijrah bukanlah pemain yang berada di penghujung usia semata- mata. Malah pemain yang di beli adalah pemain yang masih muda dan merupakan ayam tambatan dalam sesuatu pasukan.

Segalanya bermula dengan tonggak Chelsea, Ramirez dibeli oleh Jiangsu Suning dengan nilai 36.1j USD. Beberapa hari kemudian, kelab Guangzhou Evegrande pula membeli pemain yang dikaitkan dengan Arsenal, Jackson Martinez pada harga 47.1j USD.

Bermula saat itu, bermula lah era penghijrahan nama-nama gah ke tembok besar China antaranya adalah seperti Paulinho,Oscar,Hulk dan penerima gaji termahal di dunia setakat ini Carlos Tevez.Yang terbaru, tonggak veteran Manchester United Wayne Rooney pula dikaitkan dengan beberapa kelab dari China yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Penghijrahan yang berlaku bukan sekadar dikalangan pemain.Liga China juga sudah berjaya memancing beberapa jurulatih yang berprofil tinggi antaranya bekas pengendali skuad kebangsaan Brazil, Luiz Felipe Scolari dan juga Andre Villas-Boas mantan pengurus Chelsea.

Jauh di sudut hati. Kita pasti tertanya- tanya bagaimanakah pasukan di liga China mampu untuk berbelanja besar untuk mendapatkan pemain-pemain ternama.Ini adalah kerana pasukan yang bertanding dimiliki syarikat konglomerat dan hartawan yang kaya raya antaranya syarikat Alibaba,Evegrande Real Estate,Shanghai Port, Luneng Group dan banyak lagi.

Jadi tidak hairanlah jika kewangan mereka begitu kukuh dan berani untuk berbelanja besar dalam pembelian pemain ternama.