Tangisan air mata kemenangan kapten Wales, Ashley Williams selepas menewaskan Belgium 3-1 pada aksi suku akhir Euro 2016 1 Julai lalu cukup menggambarkan kepuasan negara itu ke peringkat separuh akhir, kali pertama mereka ke separuh akhir sebuah kejohanan antarabangsa utama.

Sebelum saingan Euro tahun ini bermula, terdapat kenalan yang memandang sinis pandangan penulis yang berasa Wales mampu melakar kejutan pada saingan kali ini di bumi Perancis.

Penulis akui, tidak pernah menyokong Wales atau mempunyai pertalian darah dengan negara itu tetapi ada mengikuti sejarah bola sepak negara yang di gelar Y Dreigiau (Naga dalam bahasa Welsh) itu.

Wales sebenarnya sentiasa menghasilkan pemain bintang liga Inggeris sejak sebelum lahirnya saingan era Liga Perdana Inggeris pada musim 1992.

Bermula era John Charles pada era 1950an, John Toshack 70an, Ian Rush 80 an dan Ryan Giggs serta Gary Speed pada 90an hingga alaf baru, Wales sentiasa memiliki pemain berkualiti antarabangsa.

Namun,hanya skuad Wales bimbingan Chris Coleman kini memiliki barisan lebih seimbang dengan pemain seperti Williams, Aaron Ramsey, Joe Allen dan bintang Real Madrid, Gareth Bale menjadi tunjang utama.

Laporan media arus perdana di Wales melaporkan, Coleman seorang pengendali yang amat mengutamakan kecergasan pemain serta pendekatan sains sukan.

Setiap pemain Wales dibekalkan data maklumat lengkap terhadap pemain lawan, dua hari sebelum hari perlawanan.

Formasi 3-5-2 yang diterapkan Coleman tampak serasi dengan pemain yang membuatkan mereka mampu menangani lawan dengan reputasi lebih hebat.

Wales turut bermain sebagai satu pasukan walaupun Bale dan Ramsey antara pemain sandaran mereka di saingan Euro kali ini.

Slogan "Together, Stronger (Ampuh, Bersama) yang dilaungkan Persatuan Bola Sepak Wales juga berjaya memberi motivasi tinggi buat pemain.

Saingan Euro 2016 turut menyaksikan kemaraan tiga lagi negara dari Great Britain (Ireland, Ireland Utara dan England) mara ke pusingan akhir.

Pemerhati bola sepak antarabangsa sebelum ini menjangkakan England sebagai wakil Britain yang boleh mara jauh namun, Wales membuktikan sebaliknya.

Walau apa pun pencapaian keseluruhan Wales di Euro kali ini, kejayaan ke separuh akhir satu kejayaan besar buat bola sepak di negara yang lebih sinonim dengan ragbi sebelum ini.