'Wai' Ratchanok buat peminat jatuh cinta

Sharon Wee
Januari 21, 2019 08:42 MYT
Peminat jatuh cinta setiap kali pemain badminton jelita Thailand, Ratchanok Intanon, memberikan salam ‘Wai’.
‘Wai’ merupakan cara tradisi masyarakat Thailand menunjukkan tanda hormat, berterima kasih, meminta maaf dengan menangkupkan kedua-dua telapak tangan di dada, disertai dengan membungkukkan badan sedikit.
Di Arena Axiata Kuala Lumpur, setelah menewaskan pemain Sepanyol, Carolina Marin, 21-9, 22-20 dalam final Masters Malaysia 2019, juara dunia remaja 2 kali dan juara dunia termuda 2013, Ratchanok, memberi ‘Wai’ di ke empat-empat penjuru gelanggang tanda berterima kasih kepada para peminat setianya.
Acap kali ‘Wai’ dari bekas pemain nombor 1 dunia itu meleburkan hati para peminat dan menjadikan Ratchanok antara pemain badminton paling popular di dunia.
Dipuji oleh kebanyakan pengulas sukan seakan-akan seperti seorang balerina di atas gelanggang kerana pergerakannya yang lembut, bersahaja dan efisien, Ratchanok yang juga dikenali sebagai May, mencipta sejarah di Masters Malaysia apabila muncul pemain perseorangan wanita pertama menjuarai kejohanan itu dua kali berturut-turut.
Mengecapi kejayaan besar pada usia 23 tahun, Ratchanok menjadi idola dan mentor kepada pemain muda antaranya pemain Malaysia, Goh Jin Wei, yang melalui tahun gemilang 2018 dengan kemenangan pingat emas Sukan Olimpik Remaja dan merangkul kejuaraan remaja dunia buat kali kedua.
Ratchanok yang menewaskan Jin Wei di separuh akhir memberi kata-kata semangat bahawa pemain 18 tahun negara itu mempunyai prospek untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, namun memiliki fizikal yang kecil, tahap kekuatan, stamina dan kepantasan perlu diperbaiki.
Dalam Masters Malaysia tahun ini, satu-satunya wakil negara di peringkat final adalah bergu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, tetapi mereka gagal menyekat kehebatan beregu nombor satu dunia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon.
Di samping itu, Jepun menarik perhatian menerusi dua kejuaraan manakala kuasa besar terdahulu, China, pulang dengan tangan kosong.
Nampaknya angin sudah bertukar dari China ke Jepun, dan sudah pasti ke Thailand, apatah lagi dengan salaman lembut ‘Wai’ daripada Ratchanok Intanon.