Pelari menara negara, Soh Wai Ching, menawan Empire State Building apabila menamatkan lariannya dalam masa 10 minit 46 saat di menara New York setinggi 86 tingkat dengan 1,576 anak tangga itu.

Meskipun tidak menepati sasaran masa 9 minit 33 saat yang dicipta Paul Crake pada 2003, ia menjadi dorongan buatnya untuk lebih lincah dalam edisi seterusnya.

"Pencabar saya dari Colombia mengekori larian saya hingga tingkat ke-55, cubaan menjarakkan diri daripadanya selepas itu berjaya tapi langkah saya mula terasa berat.

"Ini kerana saya bermula dengan laju sejak dari awal lagi kerana cuba mencipta jurang dengan peserta lain.





"Saya tidak berasakan persiapan selama sebulan ini mencukupi untuk mencatat masa di bawah 10 minit.

"Saya agak kecewa berikutan objektif utama saya untuk mengatasi rekod 9:33s tidak tercapai, tapi saya akan cuba melakukannya pada tahun depan.

"Saya harap dapat menjalani persiapan yang lebih lama selepas ini, sekurang-kurangnya dua bulan," katanya yang menduduki ranking kedua dunia itu di Nadi Arena.