Kalau ada cerminan yang mahu kami ambil dari kecintaan kamu pada acara sukan ini, sudah pasti sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada skuad bola sepak Indonesia.

Ketaksuban kamu ini tidak termaktub kepada skuad utama sahaja. Stadium bola sepak kamu tidak kurang serinya ketika pasukan muda beraksi. Jeritan kamu tidak kurang ghairahnya ketika melihat kelicikan bintang kesayangan diatas padang.

Sayang sekali, kemegahan itu buat kamu alpa, merasa diri kamu itu terlalu hebat sehingga memijak kehormatan negara lawan yang juga ikut serantau, sehingga lupa perkara utama kenapa pertandingan sepertinya ini dianjurkan, sehingga lupa kamu kini hidup pada tahun 2018. Apakah relevan slogan "Ganyang Malingsia" digunakan lagi ketika pemain-pemain yang turun elok bersalaman dan bersahabat seperti sepatutnya.

Bukan sekali, bukan dua kali. Ini bukan tentang gahnya mencipta hatrik. Ini tentang keselamatan tetamu yang berkunjung. Bukankah sebagai tuan rumah, kamu akan berasa malu jika tetamu yang hadir rasa tidak selamat berada di kediaman kamu. Sudah pasti awal-awal lagi kamu sudah melihat, sudut mana yang bahaya dan berfikir kemungkinan apa yang boleh kamu lakukan untuk mengelak kemalangan berlaku. Jadi salah siapa sebenarnya?

Secara terbuka, seringkali kami melihat provokasi penyokong-penyokong bola sepak Indonesia di ruangan komen media-media sosial milik peminat tegar Harimau Malaya. Tidak dinafikan, ada yang cuba membalas dengan ayat yang boleh mengakibatkan perbalahan lebih besar tetapi kami tutup sebelah mata kerana ia mungkin sekadar kata-kata nakal yang tidak mewakili sebahagian besar kamu, mahupun kami rakyat Malaysia.

Besarnya negara kamu, banyak sekali media yang mewakili suara-suara rakyat Indonesia tetapi sayangnya, masih ada yang bersikap kurang matang dengan turut sama memainkan isu "Ganyang Malaysia" seperti zaman Soekarno, dikala filem bapak Joko Widodo "Jokowi" yang kami hormati, diulang siar lebih daripada 10 kali di saluran Astro. Belum lagi sepanjang 6 tahun berkecimpung dalam penyiaran sukan, saya melihat mana-mana rakan media yang cuba menjentik sensitiviti lampau, apatah lagi kami pendukung sukan Malaysia di Astro Arena.

Persoalan utama - Mana perginya semangat kesukanan di Stadium Gelora Delta pada perlawanan yang sepatutnya dibanggakan penyokong bola sepak Indonesia dan Malaysia kerana dilabel sebagai "Classico Nusantara" - sehebat pertembungan seteru tradisi dunia yang sering dinantikan, jawapannya hanya ada pada pemain tetapi tidak pada kira-kira 26, 000 penyokong yang hadir.

Akhir kata, sekali lagi ayat klise ini perlu digunakan... semoga insiden seperti ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang, baik membabitkan pasukan B-19, B-23 atau skuad senior kita, dimana-mana lapangan sekali pun. Kalau kita boleh akui keserumpunan itu pada cintanya seni muzik dan lakon layar, seperti mana kamu sukakan Siti Nurhaliza dan kami menggemari "Ada Apa Dengan Cinta", kenapa tidak tentang sukan? Lebih-lebih lagi bola sepak yang menjadi kegilaan nombor satu kita semua.