Banyak projek fasiliti sukan jadi tanda tanya selepas kerajaan Barisan Nasional tumbang dalam Pilihanraya Umum 2018.

Stadium ragbi pertama negara, velodrom, gelanggang bola tampar dan badminton di Sarawak serta yang paling mengecewakan Velodrom Dungun yang dibina sebagai menghargai jasa bekas juara keirin dunia, Azizulhasni Awang.

Projek pembinaan velodrom itu diumumkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 2010 dengan kos awal RM36 juta.

Majlis Sukan Negara (MSN) kemudian diminta menilai semula projek terbabit untuk mengurangkan kos pembinaan sebelum kerajaan negeri membelanjakan RM1.5 juta ringgit untuk membersihkan tapak seluas 8 hektar pada 2012.

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan sama ada bajet terlalu rendah, proses pra tender hinggalah seorang lagi bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meletakkan batu asas kedua, Mac lalu.

Penantian demi penantian, akhirnya kerajaan BN tumbang, meninggalkan harapan kepada Azizul dan peminat basikal Dungun.

"Apa boleh saya katakan. Terlalu banyak perkara berlaku. Saya tidak memikirkan sangat mengenai projek itu," kata Azizul.

Itulah atlit, dijanjikan bulan dan bintang yang belum tentu ditunaikan.

Tetapi, mereka tetap komited dengan tugas utama menggembirakan rakyat Malaysia.

Realitinya, bukan semua peminat dapat menerima perkhabaran mengenai nasib Velodrom Dungun.

"Sejarah tercipta, velodrom paling lama untuk dibina," kata peminat di laman sosial.

"Letak batu asas sampai dua kali, projek tetap tidak berjalan," kata seorang lagi.

Saya fikir penduduk Dungun tidak begitu dahagakan velodrom. Cuma mereka mahu lihat adakah janji itu ditepati.

Terpulang kepada Menteri Belia dan Sukan yang baru untuk menilai adakah projek itu benar-benar penting kerana Malaysia sudah memiliki Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan dan Velodrom Rakyat, Ipoh, Perak.

Tetapi secara peribadi, projek itu tidak akan diteruskan.

Mungkin Velodrom Dungun yang sepatutnya dinamakan Velodrom Azizulhasni Awang hanya akan jadi kenangan buat peminat basikal trek pantai timur.