Isu video bantuan pengadil (VAR) mendominasi tajuk berita bola sepak pada minggu ini.

Sejak pengenalan sistem ini pada 2018 lagi, pelbagai kontroversi tentangnya disebut-sebut dan ia kini berlaku lagi selepas perlawanan hujung minggu lalu.

Dalam Liga Perdana Inggeris, mungkin buat pertama kalinya dalam sejarah, VAR membantu Manchester United untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Brighton biarpun selepas wisel terakhir ditiupkan!

Sementara itu, dalam perlawanan Real Madrid menentang Real Betis dalam La Liga, VAR mempengaruhi pengadil untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada Real Madrid pada minit-minit terakhir perlawanan yang kemudiannya disudahkan oleh Sergio Ramos bagi memberikan kemenangan kepada Madrid.

Menurut laman sesawang Reuters, jurulatih Betis, Manuel Pellegrini, dipetik sebagai berkata “Menentang Real Madrid sahaja sudah cukup sukar, apatah lagi hendak menentang mereka dengan bantuan VAR.”

Selain itu, pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho, yang menyaksikan pasukannya seri akibat penalti minit terakhir yang dihadiahkan kepada pasukan lawan selepas rujukan VAR turut sama meluahkan rasa tidak puas hatinya, biarpun dengan nada yang lebih terkawal.

“Jika saya hendak mendermakan wang, saya akan menderma kepada badan kebajikan, bukan kepada FA (Persatuan Bolasepak England), jadi saya tidak mahu komen apa-apa,” kata pengurus penuh kontroversi itu yang jelas sekali tidak mahu didenda atas kata-kata pedasnya.

Ternyata pasukan yang tewas pada minggu ini cukup tidak berpuas hati dengan sistem VAR, tetapi pada pendapat penulis, VAR telah banyak membantu dalam menyelesaikan isu-isu ketidakadilan yang muncul sepanjang perlawanan.

Namun, keputusan yang adil tidak semestinya akan dipersetujui oleh semua pihak, jadi ia tidak menghairankan ada begitu ramai jurulatih serta pemain yang kurang berpuas hati dengan sistem teknologi ini.

Ada yang berpendapat bahawa keputusan pengadil di atas padang sepanjang perlawanan haruslah dihormati sepenuhnya dan apa yang berlaku adalah takdir yang harus diterima.

Namun, adakah mereka mampu mengekalkan pendapat sebegini apabila pasukan mereka tewas akibat ketidakadilan dan kecemerkapan pengadil?



Tanya sahajalah kepada skuad England yang tersingkir daripada Piala Dunia 1986 akibat ‘Tangan Dewa’ Diego Maradona, ataupun kepada skuad tahun 2010 yang menyaksikan gol hasil rembatan jarak jauh Frank Lampard tidak diiktiraf, bukankah VAR adalah jalan penyelesaian bagi ketidakadilan sebegini?

Tanyalah juga kepada skuad Ireland yang gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2010 akibat perbuatan Thierry Henry yang menggunakan tangan bagi mengawal bola dan membolehkan pasukan Perancis menjaringkan gol pada minit-minit terakhir, bukankah ketidakadilan sebegini cukup menyedihkan?

Jika VAR sudah wujud sewaktu Piala Dunia 2002, pasukan Itali pastinya tidak akan tersingkir di peringkat awal akibat keputusan pengadil yang tidak masuk akal, begitu juga dengan pasukan Sepanyol yang menerima layanan serupa dalam perlawanan mereka di peringkat suku akhir.

Bekas kapten serta pemain legenda Barcelona, Xavi Hernandez, yang menjawat posisi jurulatih kelab Qatar, Al-Sadd, ketika ini dipetik sebagai berkata “Sungguh memalukan kerana VAR tidak digunakan dalam Liga Juara-Juara Asia, pertandingan terbaik di rantau ini,” selepas pasukannya gagal memperoleh sepakan penalti sewaktu tewas menentang kelab Iran, Persepolis, Ahad lalu.

Jika dirujuk pada insiden-insiden yang disebut dalam artikel ini, kebanyakan sepakan penalti telah diberikan akibat bola yang terkena tangan pemain, mungkin peraturan melibatkan insiden sebegini yang harus dirujuk semula dan bukannya sistem VAR yang hanya memaparkan apa yang sebenar-benarnya berlaku?