VAR bakal diuji terlebih dulu dalam saingan Piala Malaysia musim ini, sebelum digunakan secara menyeluruh dalam saingan Liga M musim depan.

Apa pun, VAR bukan teknologi yang mengambil alih tugas seorang pengadil sepenuhnya di atas padang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh, VAR adalah teknologi yang mampu mengurangkan kesilapan seorang pengadil pada saat getir perlawanan.

"VAR mampu membantu pengadil dalam menentukan pertikaian mengenai jaringan, sepakan penalti, kad merah serta kesilapan identiti ketika dilayangkan kad merah.

" Tetapi pengadil tetap perlu melaksanakan tugas seperti biasa dan perlu segera membuat keputusan awal terlebih dulu ketika perlawanan berlangsung.

" Hanya apabila timbulnya pertikaian, pengadil boleh merujuk kepada VAR bagi membolehkan kesilapan dikurangkan, "kata Subkhiddin.

Setakat ini saingan Liga A Australia dan juga Liga Bola Sepak Utama (MLS) di Amerika Syarikat antara yang sudah menggunakan teknologi ini.

Penulis menyambut baik kesediaan pucuk pimpinan baru FAM yang diketuai Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana mengambil pendekatan baru dalam meningkatkan tahap pengadilan Liga M.

Penulis berharap, apabila VAR digunakan di Liga M tiada lagi rungutan terhadap tahap pengadilan meragukan dalam usaha kita meningkatkan tahap bola sepak negara.

Sebelum ini, beberapa kes kekecohan penonton turut berpunca daripada kesilapan pengadil ketika membuat keputusan meragukan dalam perlawanan penting di saat genting.