Tidak keterlaluan jika Virgil Van Dijk dinamakan selaku ikon Liverpool ketika ini selepas Mohamed Salah, mendahului nama lain seperti Roberto Firmino, Sadio Mane dan Jordan Henderson.

Ternyata keputusan The Reds untuk memecahkan rekod dunia bagi seorang pertahanan dalam usaha mendapatkan Van Dijk sesuatu yang berbaloi tatkala dia pantas memberikan impak dengan muncul pemain pertama yang menjaringkan gol dalam penampilan pertama ketika aksi setempat Merseyside berdepan Everton, mengatasi rekod Bill White sejak 1901.

Namanya begitu diagungkan barisan penyokong Liverpool disebabkan persembahan konsisten serta nilai seorang ketua di barisan bawah dalam skuad kendalian Jurgen Klopp itu.



Namun, adakah statistik sebenar membuktikan keampuhannya di Anfield?

Sejak menyarung jersi merah Liverpool buat kali pertama pada 5 Januari tahun lalu, Van Dijk benar-benar mengukuhkan statusnya selaku antara pertahanan tengah terbaik dunia.

Jumlah 24 perlawanan sebelum kehadiran pertahanan Belanda itu menyaksikan gawang Liverpool dibolosi 28 kali dalam saingan Liga Perdana Inggeris tetapi senario jelas berubah setelah dia tiba di Anfield.



Hasil daripada 23 aksi, anak buah Klopp hanya dibolosi 13 jaringan serta mencatatkan 12 perlawanan tanpa melepaskan sebarang gol, sekali gus mencetuskan perkhabaran gembira buat semua penyokong.

Walaupun hanya tampil dalam babak kedua saingan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, Van Dijk mencipta gandingan mantap di bahagian benteng bersama Dejan Lovren sehingga namanya disenaraikan dalam kesebelasan terbaik kejohanan susulan kejayaan melangkah ke final sebelum tewas 3-1 di tangan Real Madrid.



Memasuki musim 2018/19, Van Dijk terus menyinar membuatkan harapan peminat Liverpool untuk melihat pasukan pujaan mereka menamatkan kemarau trofi liga selama 18 tahun mampu disempurnakan.

Tampil dalam kesemua lapan perlawanan sehingga 15 Oktober 2018, Van Dijk tidak berdepan masalah untuk mengetuai benteng The Reds yang hanya dibolosi tiga kali, sekali gus berkongsi status skuad paling sedikit dibolosi bersama pendahulu liga dan juga juara bertahan, Manchester City.



Tidak dinafikan, kehadiran Van Dijk jelas mengukuhkan benteng Liverpool selepas lama mendambakan pengganti legenda seperti Jamie Carragher, Sami Hyypia, John Arne Riise serta Alan Kennedy.

(BERSAMBUNG)