Valtteri Bottas berjentera Mercedes-AMG Petronas menjuarai Formula 1 Grand Prix Australia buat kali pertama.

“Kepada sesiapa yang berkenaan, **** ***!!”, sindir Bottas dengan perasaan yang bercampur aduk selepas melepasi garisan penamat di Albert Park juga perlumbaan pertama dari 21 perlumbaan untuk musim 2019.

Kali terakhir dia menjulang trofi kejuaraan pada penghujung 2017 di Abu Dhabi dan tangan kosong tahun lepas dengan muncul tujuh kali di tempat kedua, Bottas dikecam para peminat dan sering dibandingkan dengan rakan sepasukannya juga pelumba kesayangan ramai, juara dunia lima kali, Lewis Hamilton.

Pelumba 29 tahun dari Finland itu juga melalui kesan emosi dan psikologi setelah terpaksa mengikut arahan pasukan untuk memberi laluan kepada Hamilton memintasnya dalam Grand Prix Russia 2018 bagi memastikan rakan sepasukan dari Britain itu menjadi juara dunia apabila dikejar rapat musuh tradisi dari Ferrari, Sebastian Vettel.

Tekanan para peminat, selalu dibandingkan dengan ‘poster boy’ Hamilton dan prestasi kurang baik tahun lepas, Bottas menyatakan dia terpaksa ‘servis’ kepala dan tahap mentalnya pada musim sejuk lalu.

Dengan semangat baharu 2019, Bottas berjaya bangkit dalam perlumbaan pembuka tirai tahun baharu, bukan sahaja memintas Hamilton yang berada di petak pertama seawal selekoh pertama, malah mendominasi keseluruhan 58 pusingan tanpa sebarang kesilapan.

“Ini adalah prestasi terbaik saya dalam karier Formula 1”, dengan bangga juara Grand Prix Australia 2019, Valtteri Bottas, meluahkan perasaannya.