Umum sudah mengetahui mengenai situasi yang menimpa jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, yang kini sedang bertarung dengan penyakit kanser hidung.

Akibat keadaan berkenaan, Chong Wei terpaksa tarik diri daripada sertai dua pertandingan utama iaitu Kejohanan Dunia di Nanjing, China di samping temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Nyata ketiadaan bekas pemain ranking nombor satu dunia ini amat dirasai apabila "aura" yang dibawanya bersama rakan senegara yang lain tidak dapat dirasai dalam dua pertandingan berkenaan.

Selepas menjalani rawatan di Taiwan, kepulangan Chong Wei ke tanah air sudah pasti menjadi tumpuan kerana semua ingin melihat sendiri keadaan terkini pemain itu.

Walaupun penulis tidak selalu berpeluang untuk bertemu serta menemuramah Chong Wei tetapi apabila setiap kali berjumpa, dia sentiasa punyai perkara untuk dibincangkan.

Punya perwatakan tersendiri, Chong Wei sememangnya punyai semangat tinggi tidak kira sama ada di dalam mahupun di luar gelanggang.

Kini cabaran paling sukar buat pemain yang bakal menjengah usia 36 tahun pada 21 Oktober ini adalah bukan mudah untuk bertarung dengan penyakit kanser yang dapat menggugat kariernya.

Penulis percaya, dia masih punyai keupayaan untuk kembali semula ke gelanggang walaupun tahu tempoh masa yang ada buat dia temui semula rentak permainan masih menjadi tanda tanya.

Kepada seluruh peminat badminton mahupun sukan tempatan, teruskan memberi sokongan anda kepada Chong Wei menerusi kempen #UntukSaya agar dia dapat kembali dengan lebih bertenaga di atas gelanggang.