Sesiapa pun boleh mengandaikan dari kejauhan, Cristiano Ronaldo harus tidak terlepas pandang kebangkitan bekas kelabnya, Manchester United, selepas dia sendiri mengambil keputusan meninggalkan Old Trafford, menjelang penghujung November lalu.

Seiring dengan harapan penyokong United agar skrip berbeza hadir sewaktu turun menentang Manchester City dalam pertemuan semalam, ternyata itulah yang benar-benar terjadi dalam kemenangan 2-1 The Red Devils.

Artikel terdahulu turut menyentuh tentang aspek mengekang Erling Haaland demi membataskan sepenuhnya peluang City untuk membolos gawang.

Ternyata City hanya berjaya melakukan satu percubaan tepat ke pintu gol, iaitu sewaktu menjaringkan gol pembukaan melalui tandukan Jack Grealish manakala Haaland seolah-olah langsung tidak kelihatan kelibatnya sepanjang 90 minit.

United bangkit daripada ketinggalan, United juga bangkit daripada kemelut yang melanda buat sekian lama.
Akhirnya.

Ulasan-ulasan bekas pemain serta media kebanyakannya memberikan pujian menggunung buat pengurus United, Erik Ten Hag, serta pemain-pemainnya yang mencatatkan kemenangan kesembilan berturut-turut dengan menumbangkan seteru tradisi -- membalas dendam atas kekalahan 3-6 yang memalukan di gelanggang City sebelum ini.

Menerusi The Daily Mail, bekas pemain pertahanan Liverpool, Danny Murphy, memberikan tabik hormat terhadap Ten Hag kerana memperkasakan aspek mentaliti pemain-pemainnya dengan menyuntik rasa percaya terhadap keupayaan sendiri serta berdisiplin dan tidak gentar untuk menghalang segala percubaan lawan.

Murphy turut memuji pemain-pemain yang dahulunya dicemuh dan dipersendakan seperti Aaron Wan-Bissaka dan Luke Shaw kerana berjaya membuktikan bahawa mereka masih lagi mampu untuk beraksi di paras tertinggi, terutama Shaw yang memainkan peranan penting mengunci Haaland.

Kolumnis The Guardian, Jonathan Wilson, memberikan tajuk 'Peraturan ofsaid yang tidak masuk akal gagal menyembunyikan perubahan yang berlaku di Manchester'.

Artikel itu membicarakan kemerosotan City yang cukup membimbangkan ketika ini dan mencadangkan bahawa perkara ini mungkin berlaku gara-gara seluruh pasukan terpaksa mengubah corak mereka untuk berpaksikan Haaland sebagai penyerang utama.

Strategi ini memerlukan bola dihantar sepantas mungkin ke arah Haaland bagi memanfaatkan sepenuhnya kelincahan pemain itu, sedangkan ini bertentangan dengan prinsip City yang lebih gemar melakukan hantaran demi hantaran untuk membina rentak sebelum serangan tajam dilancarkan.



Menurut kata-kata pengurus City sendiri, Pep Guardiola, City biasanya memerlukan 15 hantaran bagi membina kestabilan dan mengelakkan daripada menjadi mangsa serangan balas pantas pihak lawan.

Dua gol yang dijaringkan United semalam sememangnya berpunca daripada serangan balas pantas yang dimaksudkan.

Kejadian paling kontroversi semalam tidak syak lagi berlaku sewaktu gol pertama United dijaringkan oleh Bruno Fernandes.

Bola dilorongkan oleh Casemiro tepat ke haluan Marcus Rashford yang berada di posisi ofsaid tetapi Rashford dengan bijaknya tidak menyentuh bola agar wisel tidak dibunyikan, dalam masa yang sama menggunakan tubuhnya untuk menghalang kemaraan pemain pertahanan City dan memberikan ruang buat Fernandes melakukan rembatan bagi menjaringkan gol.

Persoalan yang ditanya oleh berjuta-juta penonton semalam adalah sama ada tindakan Rashford itu dikategorikan sebagai ofsaid ataupun tidak?

Menurut laman sesawang thefa.com, peraturan ke-11 yang membicarakan topik ofsaid mengatakan pemain yang berada di posisi ofsaid ketika bola dimainkan hanya akan dihukum jika dia “mengganggu permainan secara menyentuh bola atau menghalang pemain lawan daripada melihat bola atau merebut bola dengan pemain lawan itu”.

Setelah berbincang secara ringkas dengan pembantunya, pengadil, Stuart Attwell merumuskan Rashford tidak menyentuh bola mahupun melakukan sebarang bentuk halangan terhadap pemain pertahanan City, maka keputusannya adalah gol jaringan Fernandes itu sah.

Dalam perkara sebegini, tidak kira bagaimanapun ia dibicarakan, hanya keputusan pengadil yang menentukan segala-galanya, dan ia haruslah diterima tidak kira bagaimana pedih mahupun tidak masuk akal sekali pun.



Mungkin kemarahan dan ketidakpuasan hati tentang keputusan itu mendorong kepada kecuaian City untuk terus bertahan dengan baik sehingga gol kemenangan United dijaringkan oleh Rashford hanya selang empat minit kemudian.

Dikhabarkan perbalahan di antara pemain dan pengadil berterusan sehinggalah ke luar padang manakala Guardiola dilihat merajuk dengan mengatakan City tidak lagi berpeluang untuk menjulang kejuaraan liga musim ini gara-gara masalah yang mereka hadapi ketika ini.

Kini United cuma satu mata di belakang City dan enam mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.

Keajaiban telah berlaku dan ia masih jauh daripada berakhir. Pastinya Ronaldo juga tidak langsung dirindui.