Pada hari terakhir Ole Gunnar Solskjaer bersama Manchester United, kakitangan kelab itu ada bertanyakan kepadanya, mengapa dia enggan mengkritik secara terbuka pemain-pemain yang mengecewakannya?

Solskjaer hanya membalas dengan senyuman sedih sambil mengangkat bahunya.

Dalam buku autobiografi bekas pemain United, Zlatan Ibrahimovic, yang berjudul Adrenaline, dia mendedahkan bahawa United sebenarnya bukanlah sebuah kelab yang gah seperti disangka ramai.

"Semua orang menganggap United adalah sebuah kelab terulung, antara kelab paling berpengaruh dan terkaya di dunia.

"Bila dilihat dari sudut pandangan luaran, begitu jugalah pendapat saya.

"Malangnya, bila saya menyertai mereka, saya dapati pemikiran pihak pengurusan mereka begitu sempit sekali.

"Pernah sekali, mereka memotong gaji saya kerana mengambil sebotol jus buah-buahan dari hotel sewaktu lawatan bersama kelab, begitulah sempitnya mentaliti mereka."






Selepas kekalahan 0-1 kepada Wolverhampton Wanderers beberapa hari lalu, pemain bek United, Luke Shaw mengatakan bahawa skuad United ketika ini kekurangan aspek yang teramat penting -- kerjasama dan perpaduan.

Persoalannya di sini, sudah berapa lamakah aspek-aspek ini hilang?

Sewaktu Solskjaer dilantik, dia digambarkan seperti seorang "penyelamat" yang menyuntik semula kegembiraan dalam pasukan -- jauh berbeza dengan layanan Jose Mourinho yang kononnya cukup dingin dan tegas sehingga mengecewakan ramai pemain.

Perkembangan terbaru United kini menunjukkan bahawa masalah sebenarnya bukanlah datang daripada pengurus tetapi pemain-pemain sendiri.

Masalah kekurangan kerjasama dan lebih penting lagi, ketiadaan aspek seronok dalam kelab, mungkin sudah wujud sejak persaraan Sir Alex Ferguson lagi.

Jika tidak, masakan Anthony Martial, Edinson Cavani, Dean Henderson, Donny Van de Beek, Juan Mata dan Jesse Lingard beramai-ramai dikhabarkan berusaha mencari jalan untuk berkelana ke kelab lain secepat mungkin.

Menurut laporan akhbar The Daily Mail, suasana di padang latihan United, Carrington, adalah teramat suram dan menyedihkan.

Pemain-pemain senior dilaporkan merungut bahawa skuad ini adalah skuad paling teruk yang pernah wujud dalam sejarah United dan tidak ada seorang pun yang gembira menjalani latihan.

Lebih teruk lagi, pemain-pemain dikhabarkan telah membentuk puak-puak tersendiri, masing-masing dengan pendirian yang berbeza.





Kerjasama dan bersatu? Ia bagaikan satu jenaka besar.

Pelbagai sumber media dan bekas pemain dari pelbagai kelab telah mula mengkritik sistem yang diterapkan oleh pengurus terkini, Ralf Rangnick.

Tidak kurang juga laporan yang mengatakan bahawa Rangnick sebenarnya tidaklah sehebat mana dan zaman kegemilangannya telah lama berlalu.

Disebabkan itulah dia hanya mampu bertugas sebagai pengarah teknikal dalam Liga Rusia sewaktu United mendambakan khidmatnya.

Namun, hakikatnya hanya satu -- dengan mentaliti pemain yang cukup teruk, apa daya Rangnick atau mana-mana jurulatih lain sekalipun?

Masalah ini seharusnya sudah lama disedari oleh Rangnick dan tindakan tegas harus diambil untuk memupuk semula mentaliti positif dalam kalangan pemain sebelum apa-apa rombakan taktikal dilakukan.

Terfikir juga mungkinkah jurulatih setegas Antonio Conte diperlukan untuk mendisplinkan pemain-pemain sebegini?

Jika Mourinho terus diberikan kepercayaan untuk mengurus skuad dengan gayanya, mungkinkah masalah sikap pemain ini dapat dielakkan?

Selagi ia United, tiada siapa yang boleh berasa pasti.