Sewaktu tempoh pengakhiran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, topik tentang pemain bintang Manchester United, Marcus Rashford, pernah dibicarakan secara terperinci.

Ketika itu, Rashford dilihat serba tidak kena dalam segala perkara -- mutu permainannya mengecewakan, peluang yang jelas terhidang tidak disempurnakan – dan dia sendiri mengakui tidak gembira ketika berlatih bersama pasukan.

Demi memulihkan dirinya, salah satu cadangan yang berlegar dalam kalangan wartawan adalah dengan meninggalkan zon selesa dan mencuba nasib di liga lain, di mana Paris Saint-Germain (PSG) menjadi salah satu kelab yang dilaporkan berminat untuk mendapatkannya.

Selang hampir setahun, Rashford merupakan pemain terbaik dalam skuad United dan telah menjaringkan 10 gol sejak kembali daripada Piala Dunia di Qatar, dan 18 gol secara keseluruhan musim ini -- jauh mengatasi Antony, Bruno Fernandes dan Anthony Martial.

Dengan kontraknya hanya berbaki 18 bulan lagi, PSG dilaporkan masih terus mengintai peluang untuk membawa penyerang itu ke Perancis.

Pantas mengambil tindakan, pengurus United, Erik Ten Hag, dalam temu bual bersama BBC menyatakan hasratnya agar Rashford terus kekal bersama pasukan.



Menurut pakar taktikal itu, hajatnya adalah untuk beransur-ansur menjadikan United satu pasukan yang digeruni, bermula dengan pasukan paling kuat di England, kemudian di Eropah dan akhirnya di seantero dunia.

Ten Hag mengingatkan Rashford bahawa dia mampu untuk memberikan persembahan mantap kerana skuad United telah dibentuk untuk membolehkan segala kualiti yang ada padanya diserlahkan sepenuhnya.

Jika United ingin mencapai matlamat menjadi pasukan terhebat, kudrat dan kelibat Rashford sama sekali tidak boleh hilang.

Dalam pada itu, Ten Hag menyeru agar pasukannya belajar daripada kesilapan ketika tumpas 3-2 di tangan Arsenal pada hujung minggu lalu dan menggesa agar aspek pertahanan terus diperketatkan.

Menurut pengurus itu, ketiga-tiga gol jaringan Arsenal berpunca daripada aspek kecuaian dan seharusnya boleh dielakkan.

Dua bekas pemain United, Roy Keane dan Gary Neville, menuding jari kepada kualiti pemain United yang sedia ada dan mendakwa kebolehan mereka ternyata masih tidak setanding dengan pemain Arsenal.

Bagi Keane, Rashford menunjukkan persembahan yang baik dan menepati piawaian tetapi Antony pula dilihat tidak cemerlang seperti Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli.

Keane turut menggesa agar Antony belajar daripada pemain seperti Riyad Mahrez dari Manchester City demi terus berkembang menjadi pemain yang lebih baik.

Neville pula berkata bahawa barisan pemain tengah United tenggelam sama sekali bermula dari minit ke-60 dan ketiadaan Casemiro, pemain bertahan terbaik mereka, cukup dirasakan.

United bakal meneruskan perjuangan dalam saingan dan Piala FA menentang Reading setelah menundukkan Nottingham Forest 3-0 dalam peringkat pertama separuh akhir Piala Carabao awal pagi tadi.