Jika kelab lain bolos dua gol dalam tempoh 30 saat, ia mungkin satu hakikat yang sukar diterima akal.

Namun, apabila ia berlaku kepada Manchester United dalam perlawanan menentang Leeds United semalam, penyokong bukan sahaja tidak terkejut, malah mungkin sudah menjangka ia bakal terjadi.

Mujur episod 'drama' kali ini berakhir dengan nada gembira apabila United bangkit untuk menjaringkan dua lagi gol bagi mencapai kemenangan 4-2.

Ini merupakan satu kemenangan penting dalam mengekalkan posisi mereka di tangga keempat dan merapatkan jurang dengan Chelsea, satu anak tangga di atas mereka.

Ramai yang tertawa apabila dilaporkan pengurus United, Ralf Rangnick, terpaksa mengupah pakar psikologi untuk memperkukuhkan minda pemainnya selepas rentetan perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 dan United sering bolos selepas meraih gol pendahuluan.




Sukar untuk dipastikan sama ada pakar psikologi itu memainkan peranan dalam kebangkitan United semalam, namun menurut Rangnick, perkara ini tidak akan terjadi beberapa bulan dahulu.

"Tempoh lima minit selepas Leeds menjaringkan gol penyamaan merupakan satu tempoh yang cukup getir dan sukar buat kami.

"Akan tetapi pasukan kami menunjukkan kematangan dan membuktikan kami sudah maju sebagai satu pasukan.

"Saya tidak pasti sama ada kebangkitan ini mampu kami kecapi dua atau tiga bulan lalu tetapi kami berjaya melakukannya hari ini.

"Kami menunjukkan reaksi teramat positif dalam tempoh 20 minit terakhir dan layak mendapatkan kemenangan," ujar Rangnick dalam temu bual pasca perlawanan bersama Sky Sports.





Kapten United, Harry Maguire, diberikan pujian oleh banyak pihak dalam kemenangan ini.

Maguire menjadi mangsa kritikan pedas dalam tempoh beberapa bulan lalu apabila persembahannya dikatakan teramat tidak konsisten dan dia merupakan pemain yang cukup berbeza berbanding aksi kukuhnya sewaktu bersama England dalam Euro 2020 tahun lalu.

Namun, kesemua kritikan itu dibalas dengan satu tandukan padu yang turut mengakhiri kemarau gol United hasil sepakan sudut sejak sekian lama.

Menurut akhbar The Daily Mail, gol Maguire itu dijaringkan selepas sejumlah 139 percubaan.

"Setiap kali saya melihat statistik kami dalam sepakan sudut, saya berasa cukup malu.

"Hari ini, kami tahu kami harus bergelut untuk menang, kami tahu kami layak untuk mencapai kejayaan.

"Kami berbicara tentang kepentingan untuk menjaringkan lebih banyak gol dalam separuh masa kedua, dan itulah yang kami lakukan," ujar Maguire.

Selain Maguire, seorang lagi pemain warganegara England, Jadon Sancho, turut menyerlahkan satu perkembangan baik.

Sancho membantu untuk menghasilkan dua gol yang masing-masing dijaringkan oleh Bruno Fernandes dan Fred pada minit ke-45 dan ke-70.

Biarpun bergelut untuk menyesuaikan diri sejak ketibaannya dari Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan setinggi £73 juta (RM416 juta), persembahan semalam serta gol-gol yang Sancho jaringkan sewaktu menentang Middlesbrough dan Southampton meyakinkan penyokong United yang pemain muda itu akhirnya berada di landasan yang tepat untuk menempa kejayaan.

Bekas kapten United, Roy Keane, yang lantang mengkritik bekas pasukannya itu setiap kali diberikan peluang, akhirnya memberikan kata-kata positif: "Saya rasa United tidak akan ada masalah untuk sekurang-kurangnya mengakhiri musim di tangga keempat.

"Mereka berhadapan dengan pelbagai masalah, antaranya pemain-pemain yang mahu meninggalkan kelab dan masalah kontrak Paul Pogba serta Jesse Lingard.

"Tetapi asalkan mereka mampu untuk terus kekal fokus dalam mencapai matlamat yang harus dikejar, mereka akan baik-baik sahaja," ujar Keane dalam sesi analisis bersama Sky Sports.

Satu kemenangan yang cukup menggembirakan buat United, namun kini, apa yang lebih penting adalah untuk mereka terus konsisten dalam mengekalkan rentak sebegini dan pastinya untuk terus mengukuhkan lagi aspek pertahanan yang belum cukup ampuh.