Namanya kini terpahat selaku pengurus pertama Manchester United yang tewas dua perlawanan pertama berturut-turut dalam satu abad, sehinggakan pasukannya berada di tangga tercorot liga.

Selepas tempoh pra-musim yang kelihatan sungguh positif, hakikatnya perit sekali permulaan rasmi kerjaya baru Erik Ten Hag bersama The Red Devils ketika ini.

Tatkala seantero dunia memilih untuk ketawa riang melihatkan penderitaan United ketika ini, ada wajarnya satu analisis dilakukan untuk menjengah punca-punca kekalahan mereka.

Terlebih dahulu, kita singkap sedikit aspek sejarah pelantikan pengurus.

Seperti diketahui ramai, senarai akhir calon pengurus baru United pada penghujung musim lalu bagi menggantikan Ralf Rangnick hanyalah dua orang, dengan Mauricio Pochettino, bekas pengurus Paris Saint-Germain merupakan seorang lagi calon tersebut di samping Ten Hag.

Kedua-dua calon menunjukkan kaliber dan kesungguhan untuk menduduki kerusi panas United, dengan kedua-duanya memiliki kelebihan tersendiri.

Pada akhirnya, pihak lembaga tertinggi United sebulat suara memilih Ten Hag, dilaporkan atas dasar temuduganya lebih berkualiti dan bersemangat berbanding Pochettino.

Di saat ini, kelebihan utama yang Pochettino miliki berbanding Ten Hag mungkin menjadi faktor atas situasi yang mereka hadapi -- Pochettino memiliki pengalaman menguruskan pasukan dalam Liga Perdana Inggeris, Ten Hag tidak.

Atas asbab kekurangan pengalaman ini, kita melihat Ten Hag melakukan eksperimen-eksperimen yang akhirnya tidak menjadi, satu lagi punca besar kekalahan berturut-turut United.

Kita fokus kepada aspek pertahanan terlebih dahulu.

Daripada enam gol yang dibolosi United setakat ini, empat daripadanya gara-gara kelonggaran dan kelekaan barisan pertahanan, manakala dua lagi berpunca daripada kesilapan penjaga gol, David De Gea, kedua-duanya sewaktu menentang Brentford.

Lisandro Martinez dibeli daripada Ajax atas potensi yang dia miliki, serta kepercayaan Ten Hag ke atasnya, berpandukan pengalaman yang mereka kongsi sewaktu kedua-duanya bersama dengan kelab Belanda itu.

Malangnya, Martinez ternyata masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya, jika kita lihat betapa mudahnya Brighton melakukan hantaran lolos untuk menerobos pertahanan United minggu lalu.

Selain itu, aspek ketinggian Martinez yang sekadar 175 sentimeter berulang-ulang kali disebut bakal menjurus kepada dirinya tewas dalam aspek perebutan bola di udara.

Di sini, harus diperhatikan bahawa gol ketiga jaringan Brentford hadir daripada sepakan sudut, di mana pemain pertahanan, Ben Mee yang memiliki ketinggian 180 sentimeter dengan mudah menanduk melepasi Lisandro.

Kecuaian De Gea mungkin boleh diperbaiki dalam perlawanan-perlawanan seterusnya tetapi kelonggaran barisan pertahanan United pula tidak dapat dijamin bakal berubah.

Kita perhatikan pula dari aspek serangan dan kreativiti, melibatkan seorang lagi pemain yang baru dibeli, Christian Eriksen.

Dalam perlawanan menentang Brighton, Eriksen ditugaskan untuk memainkan peranan 'False 9', pemain yang bertugas untuk mengemudi barisan serangan dan mencipta peluang untuk rakan-rakan sepasukan melakukan jaringan.

Menurut analisis The Daily Mail, strategi itu diabaikan pada minit ke-50, gara-gara tidak membuahkan hasil yang diinginkan.

Sewaktu menentang Brentford pula, Eriksen ditugaskan untuk memainkan peranan pemain tengah bertahan, di mana rancangan Ten Hag adalah memberikan beliau posisi paling strategik untuk mengatur dan memulakan serangan United melalui hantaran-hantaran tajam.



Malangnya, Eriksen diasak hebat oleh bekas rakan-rakan sepasukannya sehinggakan tidak berupaya untuk melaksanakan strategi yang dirancang.

Ten Hag dilaporkan telah membatalkan hari cuti pemain-pemain United semalam dan memaksa mereka untuk melakukan larian sejauh 14 kilometer sebagai hukuman atas kemalasan mereka dalam perlawanan lalu.

Daripada segi disiplin, kita dapat melihat ia telah diperketatkan, tetapi hasilnya masih lagi tidak kelihatan.

Perubahan lebih ketara harus dibawakan dan pemain-pemain harus sedar daripada lamunan.

Kelemahan-kelemahan daripada musim lalu ternyata masih membelenggu, malah boleh dikatakan lebih parah lagi.

Pihak lawan seterusnya adalah Liverpool, dan seharusnya memori pahit dibelasah 4-0 di Anfield beberapa bulan lalu masih lagi terbayang-bayang di minda United.