Masa depan Paul Pogba masih lagi satu misteri sambil Manchester United nampaknya lebih banyak menumpukan perhatian dalam misi untuk memburu khidmat Jadon Sancho.

Kontrak Pogba hanya berbaki setahun lagi dan jika tidak diperbaharui, dia boleh disambar oleh kelab-kelab lain secara percuma pada musim panas tahun 2022.

Namun, dalam temu bual bersama Sky Sports menjelang perlawanan pembukaan Perancis menentang Jerman dalam Euro 2020, Pogba mendedahkan yang United masih belum lagi memberikan apa-apa tawaran kepadanya.

"Semua orang tahu yang kontrak saya bersama United hanya berbaki setahun lagi.

"Saya juga tahu bahawa United masih belum membuat apa-apa tawaran rasmi tentang perkara ini.

"Selepas kami tewas pada peringkat akhir Liga Europa, kami semua terus memulakan percutian, jadi saya masih belum berkesempatan lagi untuk berbicara dengan pengurus (Ole Gunnar Solskjaer).

"Sekarang, saya masih lagi pemain Manchester United, tetapi apa yang berada dalam fikiran saya ketika ini hanyalah kejuaraan Euro 2020 ini.

"Saya tidak mahu dengar sesiapa mengatakan 'Pogba tidak fokus dalam pertandingan ini sebab dia sibuk memikirkan masa depannya bersama Manchester United’.

"Saya mahu mengelakkan sebarang perkara yang berkaitan dengan kelab sepanjang pertandingan, sebab itulah saya ada ejen tersendiri untuk menguruskan semua hal-hal yang sepatutnya bersama United," hurai Pogba.



Sepanjang kerjayanya bersama United sejak 2016, Pogba telah menjaringkan 38 gol dan melakukan 42 bantuan jaringan dalam 206 penampilan.

Sementara itu, United masih lagi terus berunding dengan Borussia Dortmund bagi membeli pemain sayap kebangsaan England, Sancho.

Disebabkan oleh penangan COVID-19 yang membuat kewangan kelab bola sepak seluruh dunia merudum, serta hakikat bahawa kontrak Sancho cuma berbaki dua tahun lagi, harga pemain itu dikhabarkan akan menjadi jauh lebih murah berbanding £108 juta (RM541 juta) yang dituntut oleh Dortmund pada musim panas tahun lalu.



Dalam temu bual bersama stesen radio talkSPORT, Sancho nampaknya menghadapi ura-ura ini dengan tenang.

"Saya langsung tidak terkesan dengan sebarang berita yang mengatakan Dortmund mahu menjual saya.

"Apabila seorang pemain memberikan persembahan yang baik, sememangnya dia akan dihantui oleh pelbagai spekulasi.

"Saya cuma perlu memastikan persembahan saya di atas padang tidak terkesan.”

Ketika ini, Sancho sedang berlatih bersama skuad England yang turut disertai oleh pemain-pemain United seperti Marcus Rashford, Luke Shaw dan Harry Maguire.

Ditanya sama ada pemain-pemain tersebut pernah cuba untuk memujuknya menyertai mereka, Sancho menjawab:"Semestinya mereka ada bertanyakan perkara ini tetapi saya dengan tegas memberitahu mereka, 'Saya cuma fokus terhadap persembahan saya ketika ini dan kamu semua sepatutnya fokus terhadap pertandingan yang bakal kita hadapi ini juga!"

Berbicara tentang masa depan United secara keseluruhannya, Solskjaer telah mendedahkan dalam temu bualnya sendiri bahawa kelab itu akan menyasarkan untuk mendapatkan khidmat hanya seorang pemain ternama di samping membawa beberapa muka baru dengan harga lebih rendah.

Setelah berjaya memperbaharui kontrak Edinson Cavani, serta dengan adanya Mason Greenwood yang berbakat besar, sukar untuk dibayangkan yang pemain popular seperti Harry Kane atau Erling Haaland akan dibawa masuk.

Ini tidak bermakna bahawa pemain-pemain ini tidak akan dipertimbangkan tetapi hakikatnya adalah sumber kewangan United tidaklah sebesar mana.

Daripada menumpukan perhatian untuk mendapatkan lebih ramai pemain ternama, adalah lebih bijak jika United terus fokus untuk merapatkan jurang perbezaan kualiti di antara mereka dengan seteru ketat, Manchester City, dan bersedia untuk memberikan cabaran lebih jitu dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan.